RODZI (kiri) ketika kisah dia dan suaminya keluar di Metro Prihatin pada Disember tahun lalu.
RODZI (kiri) ketika kisah dia dan suaminya keluar di Metro Prihatin pada Disember tahun lalu.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: "Kesihatan suami semakin baik dan syukur sejak kisah kami keluar di Metro Prihatin banyak yang tampil bertanya khabar serta menghulurkan bantuan," luah Rodzi Kassim, 52.

Rodzi berkata, tumpuannya kini adalah menjaga suaminya, Khiri Othman, 65 yang mengalami penyakit angin ahmar sejak 2013, hanya mampu duduk di kerusi roda.

Dia yang sebelum ini membantu suami menjual air minuman di depan rumah terpaksa berhenti berniaga berikutan pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah, kini kehidupan kami ibarat sudah mendapat semula harapan dan kami sangat berterima kasih atas ihsan orang ramai yang prihatin dengan nasib kami suami isteri.

"Walaupun kadang kala saya tidak sihat, tetapi saya gagahkan diri untuk menjaga keperluan dan kebajikan suami kerana kami tiada sesiapa.

"Syukur, Metro Prihatin sudi datang memaparkan kisah kami yang memerlukan pertolongan. Kami menerima sumbangan kurang RM5,000, dan ia digunakan dengan berhati-hati kerana perlu membayar sewa rumah, bil air dan api," katanya yang terharu dengan keprihatinan orang luar terhadap dia sekeluarga.

Dari segi makanan, Rodzi berkata, dia meminta bantuan jiran dan rakan untuk membelikannya kerana tidak berani keluar rumah meninggalkan suaminya keseorangan diri.

Malah, dia juga tidak berani keluar rumah sejak Covid-19 melanda kerana bimbang dijangkiti.

Rodzi berkata, kaki suaminya yang bengkak juga sudah mula berkurangan serta sudah boleh berbaring di atas katil seperti biasa.

Ditanya bantuan apa lagi yang diperlukannya dan suami, Rodzi berkata, buat masa ini keperluan dapur mencukupi dan hanya perlu memikirkan kewangan membayar sewa rumah, bil api dan air.

Selain itu, katanya, dia memerlukan katil bujang beroda untuk memudahkannya bergerak.

"Sebelum ini ada yang mahu membelikan katil hospital tetapi terlalu tinggi dan suami tidak selesa.

"Dia selesa di atas katil bujang biasa dan jika boleh beroda kerana mudah untuk saya menggerakkannya," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi Metro Prihatin pada Disember tahun lalu pernah melaporkan kisah kehidupan Khiri yang sudah tujuh tahun tidur di atas kerusi roda.

Dunia Khiri hanya di atas kerusi roda dan kehidupan mereka hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal.

Dia dijaga isteri yang setia menemaninya memandangkan mereka tidak dikurniakan anak sejak berkahwin pada 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 9:04 PM