HANAFIAH (tengah) menyampaikan kerusi roda kepada  Nur Jannah Nazirah. FOTO Rosli Ilham
HANAFIAH (tengah) menyampaikan kerusi roda kepada Nur Jannah Nazirah. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: "Selepas ini saya dapat jalan-jalan pusing kampung dan benda ini dapat membantu saya ke sekolah," kata Nur Jannah Nazirah Mohamad Sukri, selepas impiannya mendapat kerusi roda tertunai.

Nur Jannah, 7, berkata, dia yang menderita sakit tulang belakang kronik hanya mampu mengesot dan bergantung kepada bantuan papan luncur untuk bergerak.

Katanya, dia tidak sabar memasuki alam persekolahan di tahun satu Program Pendidikan Khas Integrasi Pembelajaran (PPKIP) di Sekolah Kebangsaan Ibok Kemaman, minggu depan.

"Terima kasih kepada mereka yang membantu saya, selepas ini saya tak perlu guna 'skateboard' ini lagi.

"Sebelum ini saya ada terfikir nak bergerak macam mana bila di sekolah dan bila dapat kerusi ni saya rasa semakin semangat nak ke sekolah," katanya ketika menerima sumbangan kerusi roda terbabit yang disumbangkan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat di rumahnya di Kampung Ibok.

Mohamad Shukri Ab Rahman, 48, berkata, anaknya Nur Jannah, dikesan menghidap penyakit saraf tunjang sejak lahir yang menyebabkan tulang belakang Nur Jannah Nazirah membengkok sehingga tidak mampu berjalan.

Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu turut menghidap penyakit jantung terbalik berbanding manusia yang lain.

"Nur Jannah hanya mampu mengesot dan menggunakan papan luncur untuk bergerak dan dia juga tidak mampu untuk menguruskan dirinya sendiri.

"Saya dan isteri, Siti Suhailah Md Nor, 36, sangat sedih mengenangkan nasib yang menimpanya kerana dia tidak seperti kanak-kanak lain namun saya dan isteri redha dengan ketetapan ilahi," katanya.

Mohamad Shukri berkata, pendapatan bersih sebagai penjaga stor sebanyak RM1,000 sebulan dan isterinya yang tidak bekerja tidak mampu untuk membeli sebuah kerusi roda sebagai persediaan untuk persekolahan anaknya itu.

Katanya, dia bersyukur dan berterima kasih kerana penderitaannya itu mendapat perhatian Hanafiah.

Sementara itu, Hanafiah berkata, pihaknya akan cuba membantu menyelesaikan masalah lain yang dihadapi keluarga terbabit.

Orang ramai yang ingin membantu bolehlah menghubungi Mohamad Shukri di talian 014-8334118.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 12:17 PM