NURUL Hasrina menunjukkan gambar kemalangan yang menimpanya September lalu di Jalan Kampung Mahkota.
NURUL Hasrina menunjukkan gambar kemalangan yang menimpanya September lalu di Jalan Kampung Mahkota.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: “Dalam sekelip mata, lori tanah itu menggilis kaki kanan menyebabkan cebisan daging berselerak atas jalan serta darah mengalir deras menyebabkan saya hampir pengsan.

“Ketika itu, saya sempat menghubungi mak (Zakiah Waly Mohd, 47) memaklumkan kemalangan yang berlaku dan mak berusaha menenangkan saya sambil mengajar mengucap syahadah beberapa kali,” kata Nurul Hasrina Adnan, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota.

Dalam kejadian 20 September lalu, anak bongsu daripada enam beradik itu yang membonceng motosikal Honda EX5 bersama rakannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong lima kali secara berperingkat hingga paras paha dan dirawat selama 45 hari di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Nurul Hasrina berkata, kemalangan itu berlaku begitu pantas menyebabkannya tidak dapat melihat tayar lori berkenaan yang menggilis kakinya.

“Saya hanya tersedar apabila melihat kaki hancur dan terduduk atas jalan serta darah banyak keluar.

“Dalam perjalanan ke hospital, saya hanya teringat mati terutama apabila badan semakin lemah dan tidak bermaya disebabkan kehilangan banyak darah,” katanya yang tinggal di Taman Seri Mahkota, Jalan Kuantan-Gambang.

Menurutnya, doktor sudah berusaha menyelamatkan kaki kanannya itu, namun gagal disebabkan jangkitan kuman dan kecederaan serius.

“Selepas hari ketiga dirawat di HTAA, kaki kanan saya terpaksa dipotong dari bawah lutut,” katanya.

Katanya, akibat jangkitan kuman, luka serius dan tempurung lutut pecah menyebabkan doktor sekali lagi memotong kakinya hingga paras paha.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:46 AM