HASDI dan isterinya Noraziatul Azida Zainuddin cuba memakaikan kaki palsu kepada Muhammad Daniel Haikal di Kampung Batu 8, Lepar, Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat.
HASDI dan isterinya Noraziatul Azida Zainuddin cuba memakaikan kaki palsu kepada Muhammad Daniel Haikal di Kampung Batu 8, Lepar, Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


“SAYA lebih rela berjalan menggunakan tongkat daripada memakai kaki palsu yang menyakitkan,” kata Muhammad Daniel Haikal Hasdi.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar itu dilahirkan cacat bahagian kaki kanan hingga memaksa doktor pakar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan mengambil keputusan memotong dari bahagian bawah lutut pada tahun lalu, bagi memberi peluang untuk menggunakan kaki palsu.

Namun, anak sulung daripada tiga beradik itu terpaksa menanggung kesakitan setiap kali memakai kaki palsu menyebabkan dia lebih rela menggunakan tongkat walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah dan kecederaan.

“Kaki akan luka dan berdarah setiap kali menggunakan kaki palsu baharu yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jadi, saya menggunakan tongkat untuk berjalan dan ke sekolah... apabila setiap kali jatuh, rakan sekelas akan membantu mengangkat.

"Saya lebih rela jatuh asalkan bahagian kaki kanan yang dipotong tahun lalu tidak terus luka dan berdarah hingga menimbulkan pelbagai masalah," katanya.

Sementara itu, bapanya, Hasdi Mat Sidek, 36, berkata anaknya perlu menjalani proses memotong sebahagian kaki kanannya hingga paras lutut sebanyak tiga kali secara berperingkat bagi memastikan dia boleh menggunakan kaki palsu dengan selesa.

Katanya, kali pertama kaki anaknya dipotong bagi membuang bahagian cacat pada April tahun lalu, namun disebabkan faktor usia tulang kakinya memanjang dengan cepat menyebabkan kaki palsu baharu diterima tidak boleh digunakan.

"Jadi, dia terpaksa menggunakan tongkat ke sekolah dan ketika di rumah menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan melakukan pelbagai aktiviti.

“Doktor pakar tulang di HTAA memaklumkan sepatutnya proses memotong bahagian cacat pada kaki kanan anak saya dilakukan ketika dia berusia 18 tahun, bukannya dalam masa terdekat ini.

“Proses memotong yang terlalu awal menyebabkan tulang kakinya memanjang sama seperti manusia normal menyebabkan berlakunya kecederaan apabila menggunakan kaki palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 3:50 PM