FIKRI gigih mengumpul dan menjual kotak bagi mencari rezeki  menyara keluarga.
FIKRI gigih mengumpul dan menjual kotak bagi mencari rezeki menyara keluarga.
Hamzah Osman

Langkawi: Kekurangan dirinya yang kudung kaki kanan selepas terpaksa dipotong akibat kemalangan jalan raya tujuh tahun lalu tidak mematahkan semangatnya, malah perasaan malu turut dibuang jauh semata-mata ingin mencari rezeki dengan mengumpul dan menjual kotak bagi menyara keluarga.

Dengan hanya bertongkat, Fikri Abd Hamid, 48, dari Kampung Kisap, Mukim Kuah, di sini, keluar mencari kotak di sekitar Langkawi sebelum dikumpul dan dijual dengan pendapatan hanya RM30 sehari.

Dia tidak pernah mengeluh, malah menerima dugaan itu dengan hati terbuka demi mencari rezeki bagi menyara isteri Norlia Mustafa, 41 dan dua anaknya, Nor Ain Jihan Aziera, 10, serta Mohd Fariz Haikal, 9 yang masih bersekolah.

Fikri berkata, sejak ditimpa kemalangan sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong, dia hanya mampu melakukan pekerjaan itu untuk menyara keluarga sejak tiga tahun lalu.

“Saya lakukan kerja ini untuk menampung perbelanjaan keluarga yang selama ini banyak bergantung kepada gaji isteri yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kedai bebas cukai, di sini.

“Biarlah apa orang nak kata, tapi saya tetap lakukan kerja ini demi melihat dua anak saya membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengumpul kotak di pekarangan kedai bebas cukai, di sini, semalam.

Katanya, ketika ini, dia ada menerima bantuan saraan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan duit itu hanya cukup untuk membayar sewa rumah RM330 sebulan.

“Alhamdulillah syukur dengan bantuan itu kerana saya adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikeluarkan JKM bagi kategori ketidakupayaan fizikal.

“Cuma dalam keadaan harga barang semua mahal, selain tinggal di rumah sewa dan dua anak masih bersekolah, saya tidak boleh bergantung sepenuhnya pada bantuan itu,” katanya.

Fikri berkata, kaki kanannya terpaksa dipotong selepas berlaku jangkitan kuman akibat kemalangan jalan raya di jalan Kampung Kumpulan, Mukim Ulu Melaka di sini, pada 20 Februari 2009.

“Pada mulanya kaki kanan saya ini patah akibat kemalangan jalan raya dan pernah dibedah dan dipasang dengan 11 batang besi oleh doktor di Hospital Langkawi.

“Bagaimanapun, tiga tahun kemudian berlaku jangkitan kuman pada tempat patah dan doktor mencadangkan kaki dipotong bermula dari atas tempurung lutut ke bawah bagi mengelak jangkitan merebak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 9:09 AM