Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang pemilik kebun menganggap dirinya bertuah apabila Nanas Sarawak ditanam setahun lalu mengeluarkan buah berbentuk pelik seperti ulat bulu.

Malah, apa yang lebih menggembirakan pemilik kebun terbabit, Saw Sin Hock, 71, dari Kampung Bukit Sebukor, di sini, adalah buah itu kelihatan seperti badan naga iaitu haiwan mitos paling digeruni.

Dia menyedari keunikan nanas itu ketika melakukan pemeriksaan terhadap pokok pisang di kebunnya minggu lalu dan gembira dengan penemuan itu.

“Ketika asyik memeriksa pisang, saya terpandang nanas itu. Bentuknya seperti ulat bulu dan pada sisi berlainan, ia tidak ubah bahagian belakang naga.

“Bentuk buah ini berlengkok-lengkok dan buahnya bercambah tiga tidak seperti nanas normal iaitu hanya sebiji serumpun. Ini kali pertama saya lihat tumbuhan pelik seumur hidup,” katanya.

Menurutnya, setahun lalu dia menanam 200 nanas Sarawak dan baka liar itu mengambil masa lama untuk mengeluarkan hasil, namun ia bukan masalah bagi Saw yang gemar bercucuk tanam.

Saw berkata, rumpun pokok nanas boleh meninggi sehingga dua meter menyebabkan pokok itu mudah terbalik.

“Kami percayakan keajaiban apatah lagi buah nanas yang kerap digunakan dalam upacara sembahyang. Paling istimewa, nanas ini menghasilkan bau wangi dan saya yakin ia membawa tuah.

“Saya tidak keberatan menjual buah nanas ini kepada pihak yang berminat jika kena pada harganya.

“Selain mengeluarkan bau wangi, nanas ini boleh mencecah berat sehingga tujuh kilogram (kg) sebiji dan tahan sehingga empat bulan sebelum dimakan,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, nanas pelik itu dialihkan Saw ke tempat lain dan ditanam semula dalam tong, warga emas itu turut meletak kayu penyendal untuk menegakkan semula rumpun tumbuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:22 AM
Saw menunjukkan pokok nanas yang mengeluarkan buah berbentuk seperti  ulat bulu di Kampung Bukit Sebukor, Pengkalan Minyak.
Saw menunjukkan pokok nanas yang mengeluarkan buah berbentuk seperti ulat bulu di Kampung Bukit Sebukor, Pengkalan Minyak.