Redzuan Muharam


“KALI pertama saya melihat pisang tumbuh seperti ini sejak mengusahakan kebun tanaman kira-kira 13 tahun lalu,” kata Rosli Yaacob, 51, mengenai pokok pisang tanduknya berbuah ganjil.

Rosli yang juga bapa empat anak menyedari kelainan pisang yang ditanam itu sejak sebulan lalu ketika buah itu baru mengeluarkan jantungnya.

Menurutnya, dia terkejut melihat hasil tanamannya itu kerana tidak sama seperti yang sebelumnya.

“Benih buah itu diambil daripada ibu saudara saya di Memali, Baling sebelum ditanam di belakang rumah.

“Sebelum ini, pokok lain daripada benih yang sama sudah berbuah tetapi dalam bilangan ganjil iaitu tujuh hingga 11 biji setandan.

“Namun, sebaliknya berlaku bulan lalu apabila satu pokok yang ditanam hanya mengeluarkan sebiji saja tidak seperti kebiasaan yang berbuah setandan.

“Keluarga saya dan rakan terdekat tahu mengenainya tetapi masih ramai juga yang tidak tahu mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Balang, Sentul.

Menurut Rosli, pisang itu belum ranum sepenuhnya dan dibungkus bagi mengelaknya daripada dimakan haiwan perosak.

Mengikut perancangan, Rosli bercadang membawa pulang pisang berkenaan ke kampungnya di Baling.

“Buat masa ini, saya biarkan dulu pisang itu memandangkan ia belum ‘masak’ sepenuhnya dan memberi peluang kepada rakan terdekat melihatnya.

“Bagaimanapun, saya sedia menjualnya kepada sesiapa yang berminat untuk membeli jika kena dengan harganya.

“Sekurang-kurangnya nanti, duit hasil jualan itu dapat digunakan sebagai modal mengembangkan perniagaan,” katanya yang turut menjual laksa utara selain mengusahakan tanamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 8:00 PM
Rosli menunjukkan pisang tanduk yang ditanamnya di belakang rumahnya di Kampung Padang Balang, Sentul. Foto Hafiz Sohaimi
Rosli menunjukkan pisang tanduk yang ditanamnya di belakang rumahnya di Kampung Padang Balang, Sentul. Foto Hafiz Sohaimi