JELAWAI Ikok, 51, menunjukkan buah nanas kembar yang dipamer olehnya untuk pengunjung di pasar tamu Pekan Balai Ringin, Serian. FOTO Joshua Eric
JELAWAI Ikok, 51, menunjukkan buah nanas kembar yang dipamer olehnya untuk pengunjung di pasar tamu Pekan Balai Ringin, Serian. FOTO Joshua Eric
Joshua Eric


PENJUAL sayur wanita tidak menyangka ‘nanas kembar’ dibawanya dari Kapit seolah-olah membawa tuah kepadanya apabila gerai jualannya di Pasar Tamu Balai Ringin, Serian menjadi tumpuan orang ramai semalam yang mahu menyaksikan kejadian unik itu.

Berbentuk seperti sekuntum bunga, ‘nanas kembar’ yang dipamerkan oleh Jelawai Ikok, 51, dari Kampung Ensebang Kuari, di sini didapati memiliki sembilan cabang buah.

"Ketika berkunjung ke Kampung Nanga Mela, Kapit awal tahun lalu, seorang penduduk di sana menghadiahkan saya beberapa biji nanas untuk dibawa pulang. Tidak semua saya habis makan, malah ada sebiji yang saya tanam di kebun. Mulanya, memang saya tidak menyangka ada keganjilan pada nanas ditanam itu sehingga saya ke kebun untuk membaja sayur.

"Saya mendapati bentuk nanas ditanam itu agak pelik, termasuk memiliki sembilan cabang bawah pada satu pokok. Ketika itulah saya menyedari nanas itu unik dan menjaganya dengan teliti agar tidak rosak atau dimakan binatang liar," katanya.

Bagi Jelawai, ‘nanas kembar’ memberi tuah kepadanya kerana gerai jualannya pasti menjadi tumpuan orang ramai untuk menyaksikan sendiri keunikan buah berkenaan.

"Tidak pernah saya terfikir untuk menjualnya kerana kejadian pelik dan ganjil ini adalah yang pertama saya alami sepanjang menjadi petani. Saya tidak pernah mengalami sebarang mimpi aneh sejak memiliki nanas berkenaan, cuma sekadar menganggap diri saya bertuah kerana memilikinya dan mengagumi keindahan ciptaan Tuhan," katanya.

Katanya, dia berhasrat untuk terus menanam baka ‘nanas kembar’ itu di kebunnya dan menjual hasilnya di Pasar Tamu Balai Ringin apabila sudah berbuah kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 12:36 PM