REBUNG buluh madu yang baharu segar dan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran.
REBUNG buluh madu yang baharu segar dan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran.
Rosman Shamsudin

Trolak: Biarpun sudah bergelar warga emas namun sekumpulan warga emas kini selesa menikmati hasil lumayan selepas dua tahun menanam pokok buluh madu di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Trolak Timur, dekat sini.

Malah, mereka yang terdiri isteri peneroka termasuk ibu tunggal berusia antara 63 tahun hingga 70 tahun memanfaatkan tanah terbiar seluas 0.5 hektar di Felda itu bagi mengusahakan tanaman pokok buluh madu.

Menariknya, pokok buluh madu yang ditanam oleh warga emas kini mengeluarkan hasil lebih 100 kilogram (kg) sebulan, sekali gus mampu menjana pendapatan tambahan selain pendapatan melalui hasil tanaman kelapa sawit yang diusahakan oleh pihak Felda.

Tanaman itu diusahakan di bawah Program Pembangunan Peneroka (PPP) membabitkan peruntukan RM 20,000.

Ketua Projek Tanaman Pokok Buluh Madu PPP, Zaharah Daud, 63, berkata 500 rumpun pokok buluh madu ditanam di kawasan yang sebelum ini agak terbiar membabitkan kira-kira 3,000 batang pokok buluh madu.

Katanya, tapak projek itu terletak di Taman Selesa bersebelahan kawasan sungai yang menjadi tempat rekreasi orang ramai dan kawasan tanah lapang berdekatan perumahan kakitangan Felda.

"Felda memberi geran atau bantuan RM2,000 setiap peserta yang membabitkan sebanyak RM20,000 sebagai modal awal atau pusingan untuk mengusahakan tanaman berkenaan.

"Pokok terbabit ditanam menggunakan anak pokok yang dijaga dan dibaja sebanyak tiga bulan sekali serta dilakukan sendiri oleh peserta secara giliran atau masa senggang," katanya ketika ditemui, dekat sini. Kawasan tanaman membabitkan kawasan tanah yang dimiliki oleh Koperasi Felda Trolak Timur dengan kebenaran oleh pihak pengurusan Felda terbabit.

Beliau berkata pada peringkat awal tanaman, rebung yang tumbuh berdekatan anak pokok buluh induk dibiarkan membesar sehingga menjadi pokok buluh.

Katanya, jarak anak pokok buluh dengan anak pokok buluh berikutnya adalah empat meter supaya rumpun pokok buluh yang terhasil mudah diselenggara dan dijaga apabila matang kelak.

ZAHARAH mengambil rebung buluh madu.
ZAHARAH mengambil rebung buluh madu.

"Sebanyak tujuh rebung pertama dibiarkan menjadi pokok atau membentuk rumpun pokok buluh manakala rebung yang tumbuh seterusnya dari tanah akan terus dituai oleh peserta.

"Paling banyak rumpun pokok buluh mempunyai tujuh batang pokok buluh sahaja supaya rumpun buluh tidak terlalu padat dan memudahkan kerja-kerja penjagaan,

"Biasanya paling tinggi bagi sebatang rebung yang cukup matang ialah kira-kira satu meter yang boleh menghasilkan rebung kira-kira 600 gram selepas dibuang daun dan bahagian keras pada ruas batang rebung terbabit," katanya.

Zaharah berkata, biasanya aktiviti mengutip hasil tanaman dilakukan pada setiap Isnin dan Khamis.

Katanya, peserta mempunyai dua pilihan sama ada mematahkan bahagian akar rebung atau menggunakan parang yang tajam semasa menuai hasil tanaman.

"Kalau menggunakan parang sambil berjalan dan menuai hasil di kawasan tanaman, peserta turut boleh memangkas ranting atau dahan pokok buluh supaya kelihatan kemas dan tersusun.

"Rebung yang dituai akan dikumpul sebelum dibuang kulit dan batang keras bagi menghasilkan rebung mentah," katanya.

Mengenai keunikan pokok buluh berkenaan, beliau berkata, biasanya mereka yang menguruskan rebung akan berasa miang selepas terkena bulu halus pada kulit yang membaluti rebung.

Rebung madu bukan sahaja tidak miang, tetapi juga tidak mengeluarkan bau langsung seperti rebung yang diperoleh daripada pokok buluh yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 8:00 AM