MEK atau Tok Kiew menunjukkan gambar keluarganya.
MEK atau Tok Kiew menunjukkan gambar keluarganya.
MEK suka tulis pantun dalam  tulisan Jawi.
MEK suka tulis pantun dalam tulisan Jawi.
Siti Nadzirah Che Mud


Machang: Usianya semakin menghampiri satu abad, namun seorang warga emas di Kampung Chekok Tok Chuba, di sini masih mengingati zaman kanak-kanak dan remajanya terutama ketika mempelajari tulisan Jawi.

Kang Tok Kiew, 72, berbangsa Cina dan sepenuhnya mengamalkan ajaran Buddha, namun membesar dalam kelompok orang Melayu membolehkannya dia mendalami tulisan berkenaan dan hingga kini masih boleh menulis dengan baik.

Ceritanya yang lebih senang dipanggil Mek, ketika itu, dia satu-satunya anak Cina berusia enam tahun yang memasuki sekolah rakyat di Kampung Gondang dekat Kemubu, Kota Bharu pada 1950.

“Mek masuk sekolah itu ketika berusia enam tahun lagi sebab suka belajar. Mek ingat lagi sepanjang belajar, cikgu selalu tekankan mengenai perpaduan dan kami diajar untuk tidak beza-bezakan mana-mana kaum.

“Ketika itu pun hanya ada tulisan Jawi dan Mek bersama pelajar Melayu lain mendalami penulisan dan membaca dalam tulisan itu.

“Ia adalah tulisan yang menyatukan kami ketika itu. Hingga kini, walau sudah lebih 60 tahun meninggalkan persekolahan, Mek tahu menulis dan baca Jawi.

“Rasanya Mek lebih mahir Jawi daripada bahasa Mandarin walaupun ia bahasa komunikasi di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Wanita itu yang menyara keluarga dengan berniaga barangan runcit di Pasar Besar Machang turut memberitahu Jawi sudah sebati dalam jiwanya serta tidak kekok untuk menulis mahupun membaca.

Katanya, jika ada masa lapang di rumah, dia lebih gemar menulis pantun lama yang dipelajari suatu masa dulu atau menciptanya sendiri.

“Banyak pantun yang Mek simpan dulu, tetapi semuanya musnah ketika banjir besar pada 2014. Sebab itulah sekarang ini, jika ada masa, Mek suka tulis semula pantun itu.

“Semua dikarang dalam tulisan Jawi sebagai kenangan Mek dan untuk ditunjukkan kepada generasi muda,” katanya yang juga ibu tunggal seorang anak.

Ketika ini, dia menguasai penulisan dan bacaan Jawinya menerusi aktiviti perniagaan memandangkan pelanggannya terdiri daripada warga emas Melayu yang hanya pandai menulis Jawi.

Mek mengakui, dalam keluarganya, hanya dia dan abangnya mampu menulis dan membaca tulisan Jawi, malah ia tidak diwarisi oleh ahli keluarga lain.

“Sebab itu kadangkala Mek rasa bangga apabila dapat menulis dan membaca Jawi. Kalau tengok budak sekarang, kurang dah nak belajar Jawi.

“Jika pelanggan nak menguji Mek dalam tulisan Jawi pun, Mek memang tidak teragak-agak tulis nama mereka dan baca. Rasa terharu apabila mampu menunjukkan kemahiran menulis Jawi ini kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:19 AM