DI Kelantan, tidak sukar untuk menemui papan tanda kedai bertulisan Jawi termasuk jenama terkenal seperti McDonald’s dan KFC.
DI Kelantan, tidak sukar untuk menemui papan tanda kedai bertulisan Jawi termasuk jenama terkenal seperti McDonald’s dan KFC.
SEBUAH kedai kasut di Kota Bharu menggunakan tulisan Jawi.
SEBUAH kedai kasut di Kota Bharu menggunakan tulisan Jawi.
PAPAN tanda di Brunei Darussalam yang memperkasakan tulisan Jawi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara itu.
PAPAN tanda di Brunei Darussalam yang memperkasakan tulisan Jawi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara itu.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Kebanyakan generasi hari ini lebih gemar meluangkan masa bermain ‘game’ pada tablet atau telefon pintar, melayari laman sosial seperti Facebook atau Instagram, bahkan ada yang gemar meluangkan masa melepak di pusat beli-belah.

Rata-rata remaja yang penulis temui memberi jawapan kurang berminat untuk mempelajari tulisan Jawi, jauh sekali menjadikannya sebahagian daripada hobi.

Tulisan Jawi bukanlah sesuatu yang asing kepada pelajar Islam di sekolah rendah mahupun menengah. Tapi tidak semua remaja benar-benar berminat untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam ketika di luar persekolahan.

Ia ialah tulisan Arab yang disesuaikan dengan bahasa Melayu menerusi beberapa perubahan dan penambahbaikan.

Penulisan Jawi mula meresap ke alam Melayu selepas kedatangan agama Islam yang dibawa pedagang Arab ketika aktiviti perdagangan di Nusantara sejak zaman awal Islam pada abad ke-3 Hijrah.

Kesan penyebaran agama Islam dilihat menerusi penggunaan huruf Arab sebagai medium komunikasi di Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai tulisan Jawi.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan berkata, mengikut undang-undang tulisan Jawi tidak dimasukkan dalam perlembagaan di bawah Perkara 152 sebagai tulisan rasmi.

“Tapi tulisan itu tidak dihalang untuk digunakan dalam sebarang penulisan malah sebagai satu warisan yang rapat dengan agama, budaya dan seni. Ia perlu digunakan dalam segala ruang untuk memakmurkan tulisan ini kembali.

“Pihak DBP turut menggesa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ditadbir di bawah kerajaan negeri untuk meng­imarahkan tulisan Jawi pada nama jalan, kedai dan bangunan.

“Hingga hari ini, kerajaan negeri yang menguatkuasakan pelaksanaan ini sudah membuahkan hasil apabila ia dimasukkan ke dalam enakmen negeri seperti di Kelantan, Terengganu, Melaka, Selangor dan Kedah. Sementara pihak swasta turut digalakkan,” katanya yang turut meng­gesa orang Melayu yang mempunyai kuasa dalam pentadbiran dan perundangan supaya memajukan tulisan Jawi untuk kegunaan awam dengan lebih meluas.

Pihak DBP turut mengadakan mahir Jawi dikendalikan kumpulan pendidik Munsyi Jawi yang dilantik untuk memberi kursus tulisan Jawi kepada orang awam secara bergerak terutama di institut perguruan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), sekolah dan jabatan agama Islam negeri.

“DBP turut menggandakan usaha melalui pihak media menerusi radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam program Klinik Jawi yang menerima rating tinggi pada setiap pagi Sabtu.

“Dalam bentuk visual pula DBP bakal bekerjasama dengan TV AlHijrah yang diharapkan mampu menyerlahkan penggunaan tulisan Jawi selain cetakan majalah yang memaparkan puisi dalam penulisan Jawi di bawah DBP.

“Diharap, tulisan Jawi boleh dijadikan sebagai satu cabang penulisan pilihan malah dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (ROC) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai klausa agar tulisan Jawi boleh diguna pakai untuk produk, nama syarikat dan kelab serta persatuan,” katanya yang turut menzahirkan perasaannya berkenaan tulisan Jawi di dalam puisi bertajuk Jawi Warisan Leluhur.

Justeru langkah memartabatkan semula tulisan Jawi wajar dilaksanakan supaya seni warisan ini tidak lapuk ditelan zaman. Banyak cadangan dikemukakan sarjana dan orang perseorangan berkenaan langkah melindungi tulisan Jawi.

Antaranya, melalui sistem pendidikan negara yang membolehkan kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi sebagai teras mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah seluruh negara.

Selain, pengenalan ke atas penulisan Jawi perlu dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah.

Hal ini sebagai salah satu usaha untuk menang­kis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan Jawi yang diang­gap sebagai sinonim dengan agama Islam.

Malah, di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan Jawi dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah wajar sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan Jawi di peringkat pengajian tinggi di negara ini.

Memetik kata-kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, generasi muda terutama pelajar sekolah perlu digalakkan menggunakan tulisan Jawi supaya ia terus dapat diperkukuhkan dan mampu menjadi bahasa persuratan serta perhubungan pada masa akan datang.

“Tulisan Jawi perlu diperkasa semula dengan memasukkannya sebagai satu instrumen dalam dunia digital justeru, pautan atas talian perlu diwujudkan.

“Khazanah Melayu yang tidak ternilai ini perlu terus relevan pada abad ke-21 dan bukan saja penting untuk pelajar di sekolah agama semata-mata.

“Penulisan Jawi pernah mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-18 sehinggakan penjajah Inggeris di Tanah Melayu perlu belajar dan membaca tulisan itu,” katanya.

Sejarah

Bukti yang menunjukkan tulisan Jawi digunakan secara menyeluruh dalam masyarakat Melayu dan kesannya besar kepada pengaruh tamadun Islam dilihat menerusi penemuan Batu Bersurat di Terengganu bertarikh 1303 Masihi.

Batu bersurat itu sendiri menunjukkan tulisan Jawi kini sudah berusia hampir 712 tahun. Selama kira-kira 200 tahun ia digunakan secara meluas selaras de­ngan perkembangan agama Islam.

Penggunaan meluas itu juga sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca bagi 84 bahasa lain, selain pernah dituturkan masyarakat Nusantara ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Malah, penggunaan batu nisan di beberapa tempat sekitar Nusantara yang tertera tulisan Jawi, antaranya penemuan batu nisan bertulis angka dalam bahasa Arab di Kedah pada 651 Masihi.

Perjanjian Sir Stamford Raffles dengan Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874 dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 juga antara bukti masa yang menyokong penggunaan tulisan Jawi pada hayatnya.

Ia sekali gus membuktikan tulisan Jawi memainkan peranan utama antara kerajaan Islam di dunia sebelum kewujudan tulisan Rumi pada akhir kurun ke-19.

Seterusnya bahasa Melayu yang dirakam dengan tulisan Jawi ini bukan lagi bahasa Melayu kuno, sebaliknya bahasa Melayu moden.

Penulisan moden ini menandakan kegemila­ngan penulisan Jawi mencapai puncaknya dalam abad ke-17 Masihi dengan wujudnya karya yang masih dapat dibaca pada hari ini.

Terdapat kajian yang menyatakan daripada permulaan penggunaan tulisan Jawi sehingga kurun ke-20, tidak kurang 10,000 manuskrip ditulis dengan tulisan Jawi.

Bagaimanapun, kejatuhan tulisan Jawi tidak secara mendadak, tetapi berlaku sedikit demi sedikit hingga akhirnya hampir tidak digunakan masyarakat Melayu di Malaysia pada hari ini.

Pergolakan menentukan tulisan rasmi bagi bahasa Melayu sama ada tulisan Jawi atau Rumi mula timbul antara tahun 1950 hingga 1956.

Peringkat akhir kejatuhannya berlaku dalam tempoh kira-kira 50 tahun daripada tarikh peng­gunaan tulisan Rumi menggantikan tulisan Jawi secara rasminya menerusi pembelajaran peringkat sekolah di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 12:07 PM