KETUA Kaum Cina Gunong, Tan Cheng Soon, 70 menulis jawi ketika ditemui di Perkarangan Rumah Kaum Cina Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gunung. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KETUA Kaum Cina Gunong, Tan Cheng Soon, 70 menulis jawi ketika ditemui di Perkarangan Rumah Kaum Cina Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gunung. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


KEINDAHAN seni kaligrafi tulisan jawi yang dipelajari sejak kecil bukan saja menjadi kebanggaan masyarakat Cina di Kampung Gunong di Bachok, malah turut mahu warisan itu diturunkan kepada generasi baru.

Ketua masyarakat Tionghua berkenaan, Tan Cheng Soon, 70, berkata kebanyakan warga emas di kampung itu boleh membaca dan menulis jawi kerana bersekolah di sekolah aliran Melayu.

Katanya, dia sendiri menguasai kemahiran menulis dan membaca jawi sejak 1960-an sehingga kini.

“Cuma sekarang banyak tak ingat, boleh baca merangkak-rangkak, kelebihan membaca dan menulis jawi ini menjadi kebanggaan kami sekali gus lambang perpaduan tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan Siam.

“Malah, kami juga mahu generasi baru mempelajari tulisan jawi seperti mereka mempelajari Bahasa Inggeris dan Mandarin,” katanya ketika ditemui di Kampung Gunung, di sini.

Tan yang mesra dipanggil Pak Lah berkata, mempelajari jawi banyak mengajar mereka bersikap baik sepertimana dipelajar dalam mata pelajaran Sivik di sekolah.

“Belajar jawi sama sahaja seperti mata pelajaran lain, cuma dulu mata pelajaran ini wajib, ada waktu khusus tak seperti sekarang yang jadi mata pelajaran pilihan.

“Jadi tak pelik kalau warga emas di sini mahir jawi, cuma sekarang makin kurang. Satu kerugian kalau tak belajar, jadi kami nak terapkan kepada golongan muda untuk suka tulis dan baca jawi,” katanya.

Penduduk Kampung Bukit Hanyut, Gunung, Tang Poo Chiam, 48, berkata apabila melihat keturunan Cina Kelantan menulis jawi atau membaca akhbar atau bacaan bertulisan jawi bukan perkara asing.

“Belajar bahasa dan tulisan sama sahaja macam belajar mata pelajaran lain macam (orang) Melayu belajar di sekolah Cina. Kita belajar bahasa lain, itu semua ilmu untuk pengetahuan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 3:09 PM