Siti Nor Hidayatidayu Razali


CARA percakapan menggunakan dialek Kelantan pekat menjadikan warga emas berbangsa Cina dari Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas, sangat rapat dengan kaum Melayu.

Tidak hairan apabila ramai yang menganggapnya sebagai orang Melayu kerana banyak bergaul dengan masyarakat itu sejak kecil.

Bapa enam anak, Owee Ching Lyu, 77, bukan sahaja bercakap dalam dialek Kelantan pekat, malah pandai menulis dan membaca dalam tulisan jawi sejak berusia tujuh tahun.

Ching Lyu berkata, dia boleh menulis dan membaca jawi kerana belajar di Sekolah Rendah Melayu Tendong, Pasir Mas, dari darjah satu sehingga darjah enam.

Katanya, ketika itu dia belajar bahasa jawi daripada gurunya, Abdullah Harun dari 1951 sehingga 1957 hingga menjadikannya fasih dan mengingatinya sehingga kini.

“Bagi memperkemaskan lagi mutu bacaan, saya kerap membaca berita atau buku dalam tulisan jawi.

“Saya gembira kerana anak-anak menyokong apabila mereka turut membeli bahan bacaan jawi untuk dibaca. Saya juga kerap menulis jawi terutama untuk menanda sesuatu untuk diingati kerana bagi saya ia lebih mudah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Menurutnya, disebabkan belajar di sekolah Melayu, dia langsung tidak pandai menulis dalam tulisan Bahasa Cina.

Ching Lyu yang juga bekas petani berkata, ketika bersekolah dia amat rapat dengan gurunya dan sanggup mencari guru berkenaan di Lembah Sireh, Kota Bharu pada 1976.

“Jasa guru yang mengajar dan mendidik saya tetap diingati walaupun beliau sudah meninggal dunia. Disebabkan tunjuk ajarnya, saya dapat menulis dan membaca jawi hingga kini.

“Bagi saya belajar jawi ini sangat mudah. Sebagai manusia kita perlu mencari pelbagai ilmu untuk kehidupan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 5:21 PM
WARGA emas, Owee Ching Lyu, 77 menunjukkan tulisan jawi yang ditulisnya ketika ditemui di Kampung Sakar Sungai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WARGA emas, Owee Ching Lyu, 77 menunjukkan tulisan jawi yang ditulisnya ketika ditemui di Kampung Sakar Sungai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar