GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Hazilah Omar

SEJAK dahulu lagi, kita diperkenalkan dengan amalan berbudi bahasa adalah budaya kita. Konsep budi bahasa itu harus diketahui dan difahami maksudnya secara mendalam agar dapat dipupuk dalam diri.

Budi bermaksud akal bijaksana, perangai, akhlak dan tingkahlaku, watak, sifat baik, perbuatan baik, kebajikan dan daya upaya. Manakala bahasa bermaksud sistem lambang digunakan sebagai alat perhubungan atau komunikasi dalam masyarakat.

Masyarakat harmoni, berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni dapat melahirkan satu bangsa budiman. Namun demikian amalan budi bahasa budaya kita semakin dilupakan oleh segelintir masyarakat termasuk sesetengah kalangan penjawat awam.

Siapapun kita, nilai murni, bahasa dan tingkah laku kita mencerminkan budaya kita. Sejak kecil lagi ibu bapa dan guru-guru mengajar kita tentang nilai-nilai murni, berbudi bahasa dalam pertuturan serta menjaga tingkah laku kita agar dapat menjadi contoh dan teladan kepada generasi akan datang.

Dalam Islam mahupun agama lain, kita dididik untuk sentiasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Jangan kita memandang darjat dan kedudukan semata-mata tanpa menghiraukan perasaan orang yang mempunyai pangkat atau kedudukan yang kurang daripada kita.

Masyarakat harus dilayan dengan adil dan saksama kerana setiap masyarakat mempunyai hati, perasaan dan maruah yang harus dihormati. Sebagai contoh, ada ketikanya, kita lupa bila kita memegang sesuatu jawatan yang tinggi kita seolah-olah alpa dengan dunia yang berbentuk sementara, kita mula kurang menghormati orang bawahan kita.

Dalam cabaran menghadapi dunia tanpa sempadan, tidak dapat dinafikan tempias budaya asing kian menular terutama dalam media elektronik yang sedikit sebanyak menjejaskan budaya budi bahasa dan tradisi masyarakat kita.

Namun demikian, sebagai masyarakat rakyat Malaysia yang kaya dengan adat dan budaya seharusnya kita tidak terikut dengan budaya luar tetapi kita lebih mengagungkan budaya kita dengan mengamalkan nilai berbudi bahasa di kalangan kita.

Tidak kurangnya sebagai penjawat awam diberikan amanah dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, amalan yang patut diutamakan adalah berbudi bahasa dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Namun ada segelintir dalam kalangan kita kurang mengamalkan budi bahasa ini dan ia boleh mencacatkan pandangan masyarakat kepada sesuatu jabatan amnya dan lebih buruk lagi kepada sesebuah organisasi kerana pepatah nila setitik rosak susu sebelanga.

Seperti yang kita sedia maklum, untuk mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang mudah. Sistem penilaian dan standard serta persaingan sengit perlu ditempuh.

Oleh itu, kakitangan awam ini perlu bersyukur dengan rezeki diberikan dan perlu diterjemahkan dengan menggandakan lagi kerja dan usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

Seringkali kita dengar keluhan, rungutan orang ramai mengenai kelemahan dalam sesetengah sistem penyampaian penjawat awam yang agak kasar. Oleh itu, penjawat awam perlu tingkatkan mutu perkhidmatan, membudayakan dan mempamer budi bahasa di tempat kerja.

Ini termasuk cara berfikir, cara bertindak, melahirkan perasaan, pertuturan dan kelakuan yang ditunjukkan semasa dalam menjalankan tugas.

Pemikiran yang rasional dapat membentuk tindakan dan kelakuan yang disenangi oleh orang ramai sekali gus dapat membentuk amalan budi bahasa. Hal ini menyebabkan penjawat awam akan dapat membentuk satu budaya kerja yang baik, dibanggakan dan akan dikenang oleh orang ramai yang berurusan.

Budi bahasa dan budaya kerja yang baik inilah akan menjadi antara faktor kejayaan sesebuah organisasi. Ada yang mengatakan sendi bahasa ialah budi, dan runtuh budi runtuhlah bangsa. Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya budi bahasa yang harus diamalkan penjawat awam dalam membentuk mutu perkhidmatan yang cemerlang.

Penambahbaikan perlu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan agar dapat memberi maklum balas positif kepada pelanggan. Sebagai contoh, penjawat awam seperti frontliner perlu amalkan budi bahasa yang sopan dan berhemah serta dapat mewujudkan win-win situation antara penjawat awam dan masyarakat.

Tidak dapat dinafikan pengukur kejayaan organisasi terletak di tangan pelanggan yang mana ayat the customer is always right harus diutamakan dan antara cabaran harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Sebagai penjawat awam, adalah penting untuk menjaga emosi semasa dalam tugas mahupun di luar waktu bekerja kerana ia mencerminkan keperibadian seseorang.

Ia merujuk bagaimana seseorang itu mengawal emosi dalam melaksanakan tugasan dan ia dapat dikaitkan dengan emotional intelligence (EQ). EQ penting bagi seseorang pekerja kerana ianya berkait dengan bagaimana seseorang itu mengurus emosi ke arah positif bagi mengurangkan tekanan, berkomunikasi dengan baik, bermotivasi dan empati, dapat atasi konflik, dan dapat memupuk budi bahasa yang tinggi.

Seseorang penjawat awam misalnya harus memiliki EQ di tempat kerja kerana berupaya membuat keputusan bijak seperti tidak bertindak berdasarkan kemarahan sebaliknya menggunakan emosi untuk mempertingkatkan daya berfikir, mengimbangkan pemikiran dan juga perasaan.

Oleh itu, sesebuah organisasi memerlukan pembangunan EQ di tempat kerja bagi mewujudkan satu budaya kerja baik serta dapat mencapai matlamat organisasi.

Justeru, memupuk konsep Budi Bahasa Budaya Kita bukan sesuatu yang baru dalam masyarakat dan ia sudah menjadi kelaziman dalam kehidupan. Sesungguhnya, organisasi yang dianggotai oleh pekerja yang tinggi budi bahasanya akan dapat memberi kepuasan tinggi kepada pelanggannya.

Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 5:59 AM