PELAJAR berswafoto bersama Fadhlina pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nibong, hari ini. FOTO Bernama
PELAJAR berswafoto bersama Fadhlina pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nibong, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Nibong Tebal: Kesantunan berbahasa dalam perbualan seharian rakyat negara ini harus dipertingkatkan bagi memelihara dan menghormati keindahan bahasa Melayu, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja dilihat dalam konteks memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan semata-mata, tetapi juga menjaga adab dan tatasusila dengan menuturkan kata-kata yang baik dalam setiap perbualan terutama di media sosial.

"(Kesantunan) dalam konteks perbualan harian kita ialah saling menghormati melalui penggunaan bahasa yang sesuai dan baik seperti kata orang utara, 'cakap baik-baik sikit'.

"Inilah perlambangan kita sebagai orang yang mempunyai sopan santun dan budi bahasa yang tinggi," katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di sini hari ini.

Beliau berkata tema sambutan ulang tahun DBP iaitu 'Kesaktian Lidah Rakyat' juga dilihat amat signifikan dengan organisasi itu dan bertepatan dengan perjuangannya dalam memartabatkan, mempertahankan serta meningkatkan kedudukan istimewa bahasa Melayu.

– LAGI

FADHLINA-BAHASA MELAYU 2 (AKHIR) NIBONG TEBAL

Menurutnya dalam usia 68 tahun, DBP telah merentas masa melaksanakan fungsi serta tanggungjawabnya sebaik mungkin meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan diharap institusi itu akan terus kuat, jujur serta berintegriti dalam usahanya memartabatkan bahasa kebangsaan seiring dengan perkembangan dunia.

Fadhlina turut memberi jaminan dan keyakinan bahawa bahasa Melayu akan terus dipertahankan, malah komitmen penuh akan diberikan terhadap usaha DBP dalam menyebarluaskan dan mendaulatkan kesusasteraan Melayu bukan saja dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.

Sebagai menyokong usaha itu, beliau berkata pihaknya buat pertama kali membawakan acara sambutan itu ke sekolah bagi mendekatkan DBP dengan rakyat.

"Kita semua merasai kepentingan bahasa (Melayu) dan mahu semua pihak tahu bahawa kita ada mandat dan amanat yang cukup penting untuk mempertahankan, memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Fadhlina turut melancarkan Program Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan dan Buku Antologi Kumpulan Puisi dan Esei Kesaktian Lidah Rakyat.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 8:17 PM