GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nur Hazilah Omar

Sejak dahulu lagi, kita diperkenalkan dengan amalan berbudi bahasa budaya kita. Konsep budi bahasa perlu diketahui dan difahami maksudnya secara mendalam agar dapat dipupuk dalam setiap diri anggota masyarakat. Budi bermaksud akal bijaksana, perangai, akhlak dan tingkah laku, watak, sifat baik, perbuatan baik, kebajikan serta daya upaya. Bahasa pula bermaksud sistem lambang yang diguna sebagai alat komunikasi dalam masyarakat. Masyarakat harmoni, berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni dapat melahirkan satu bangsa yang budiman. Namun, amalan budi bahasa budaya kita semakin dilupakan segelintir anggota masyarakat. Nilai murni, bahasa dan tingkah laku mencerminkan budaya kita.

Dalam Islam dan agama lain juga, kita dididik sentiasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Janganlah memandang darjat dan kedudukan semata-mata tanpa menghiraukan perasaan orang yang mempunyai pangkat atau kedudukan kurang daripada kita. Ahli masyarakat perlu dilayan dengan adil dan saksama kerana setiap orang mempunyai hati, perasaan dan maruah yang mesti dihormati. Sebagai contoh, adakalanya, apabila memegang sesuatu jawatan yang tinggi ada seolah-olah alpa dengan dunia berbentuk sementara. Ada mula kurang menghormati orang bawahan, seolah-olah berada dalam keadaan yang akan sentiasa kekal di atas. Oleh itu, saling menghormatilah tidak kira tua mahupun muda, pangkat atau kedudukan agar nilai kemanusiaan dapat dipupuk dan seterusnya mewujudkan amalan budi bahasa budaya kita.

Penjawat awam yang diberikan tugas dan tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, amalan patut diutamakan adalah berbudi bahasa dalam menjalankan tugas diamanahkan. Namun, ada segelintir kurang mengamalkan budi bahasa ini dan kesannya boleh mencacatkan pandangan masyarakat kepada sesuatu jabatan amnya dan lebih buruk lagi kepada sesebuah organisasi bak kata pepatah, 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'. Seperti yang kita sedia maklum, untuk mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang mudah. Sistem penilaian, standard dan persaingan sengit perlu ditempuh untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam. Oleh itu, kakitangan awam perlulah bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan perlu diterjemahkan dengan menggandakan kerja dan usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan terutama melibatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Sering kita mendengar keluhan, rungutan dan aduan orang ramai mengenai kekurangan serta kelemahan dalam sesetengah sistem penyampaian penjawat awam malah ada yang agak kasar. Oleh itu, sebagai penjawat awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan, membudaya dan mempamerkan berbudi bahasa di tempat kerja. Ini termasuk cara berfikir, cara bertindak, melahirkan perasaan, pertuturan dan kelakuan yang ditunjukkan semasa dalam menjalankan tugas. Pemikiran yang rasional dapat membentuk tindakan dan kelakuan yang disenangi oleh orang ramai sekali gus dapat membentuk amalan budi bahasa. Hal ini menyebabkan penjawat awam akan dapat membentuk satu budaya kerja terbaik, dibanggakan dan akan dikenang oleh orang ramai yang berurusan. Budi bahasa dan budaya kerja yang baik inilah akan menjadi antara faktor dalam kejayaan sesebuah organisasi. Ada yang mengatakan sendi bahasa ialah budi dan apabila runtuh budi runtuhlah bangsa.

Oleh itu, penjawat awam perlu bertindak bijak dan rasional dalam apa jua tindakan dan keputusan diambil bagi melahirkan suatu kerja yang bermutu tinggi. Penambahbaikan dari semasa ke semasa perlu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan agar dapat memberikan maklum balas positif kepada pelanggan. Sebagai contoh, penjawat awam yang bertugas sebagai frontliner sangatlah penting untuk mengamalkan budi bahasa dan berhemah dalam menjalankan tugas serta mewujudkan win-win situation dengan dan masyarakat mahupun pelanggan. Tidak dapat dinafikan pengukur kejayaan sesebuah organisasi terletak di tangan pelanggan apabila The customer is always right perlu diutamakan dan adalah antara cabaran yang mesti dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Sebagai penjawat awam, adalah penting menjaga emosi mahupun perasaan semasa dalam tugas mahupun di luar waktu bekerja kerana ia mencerminkan keperibadian seseorang. Lebih-lebih lagi penjawat awam penting mengawal emosi apabila berhubung dengan pelanggan. Ia merujuk kepada bagaimana seseorang itu mengawal emosinya dalam melaksanakan tugasan dan ia dapat dikaitkan dengan Emotional Intelligence (EQ). EQ sangat penting bagi seseorang pekerja kerana ia berkait dengan cara seseorang menguruskan emosinya ke arah positif bagi mengurangkan tahap tekanan, berkomunikasi dengan baik, bermotivasi dan empati, dapat mengatasi konflik, pengawalan emosi yang baik serta membentuk seseorang itu mempunyai budi bahasa yang tinggi. EQ juga sangat penting dalam organisasi dalam mewujudkan elemen kerja yang produktif. Pembangunan EQ di tempat kerja dapat mewujudkan suasana kerja yang positif dan menguntungkan semua pihak.

Seseorang penjawat awam, perlu memiliki EQ di tempat kerja kerana berupaya membuat keputusan yang bijak seperti tidak bertindak berdasarkan kemarahan sebaliknya menggunakan emosi untuk mempertingkatkan daya berfikir, mengimbangkan pemikiran dan perasaan. Oleh itu, sesebuah organisasi amat memerlukan pembangunan EQ di tempat kerja bagi mewujudkan budaya kerja yang mengamalkan budi bahasa dan dapat mencapai matlamat organisasi. Selain itu, EQ juga dapat melahirkan suatu tindakan dan keputusan yang rasional dapat mengurangkan konflik di tempat kerja seterusnya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan sebagai penjawat awam disenangi semua pihak.

Tidak sukar melahirkan penjawat awam berbudi bahasa dan bertanggungjawab. Sememangnya rakyat Malaysia terkenal dengan sopan santunnya dan perkara ini perlu diamalkan setiap masa serta di mana jua kita berada. Bahasa melambangkan bangsa dan sebagai penjawat awam teruskan memberikan khidmat cemerlang kepada organisasi mahupun masyarakat demi kejayaan sesebuah organisasi mahupun individu itu sendiri.

Penulis pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 7:00 AM