ADAB dan akhlak ditekankan dalam segenap aspek kehidupan meliputi muamalah sesama manusia.
ADAB dan akhlak ditekankan dalam segenap aspek kehidupan meliputi muamalah sesama manusia.
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Antara kehilangan terbesar yang melanda umat akhir zaman ini ialah apabila adab dan akhlak tidak lagi menjadi pakaian serta perhiasan dalam kehidupan insan. Justeru tidak hairanlah apabila Rasulullah SAW menegaskan tentang matlamat utama pengutusan baginda untuk memperbaiki kerosakan akhlak masyarakat Arab jahiliyah yang pada waktu itu dilanda krisis moral. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak." (Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik manusia yang beradab dan berbudi pekerti tinggi sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tuhanku (Allah) mendidikku dengan pendidikan yang terbaik." (Riwayat Ibnu Hibban)

Kalimat ta'dib yang digunakan dalam hadis itu bermaksud suatu proses untuk membentuk keperibadian manusia agar menyedari tentang tanggungjawab dan janji mereka kepada Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi. Selain itu, Rasulullah SAW juga seorang yang memiliki ketinggian dan keagungan akhlak seperti ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia."

Adab dan akhlak ditekankan dalam segenap aspek kehidupan meliputi muamalah sesama manusia. Tuntutan sifat sopan atau bermoral terhadap saudara-mara, jiran tetangga serta masyarakat secara umumnya, sama ada di rumah, tempat kerja dan sebagainya adalah termasuk akhlak yang mulia. Amalan memelihara hubungan baik sesama manusia walaupun berbeza darjat dan kedudukan, pandangan dan pemikiran akan melahirkan masyarakat yang saling menghormati. Perkara tersebut penting selain menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Dalam konteks adab dan akhlak bersama ahli keluarga, Allah SWT menegaskan kewajiban untuk menyantuni kedua-dua ibu bapa berdasarkan firman-Nya dalam al-Quran Surah al-Isra' ayat 23-24 yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripadanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu serta doakanlah (untuk mereka dengan berkata): 'Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Anak hendaklah berbicara dengan kedua-dua ibu bapa dengan lemah lembut, beradab sopan dan berkasih sayang. Jika ibu bapa memerlukan nasihat agama, sampaikanlah nasihat itu dengan lemah lembut dan beradab.

Dalam hal adab dan akhlak dengan pemimpin, Allah SWT berfirman dalam al-Quran Surah Taha ayat 43-44 yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut semoga ia beringat atau takut." Berdasarkan ayat ini, Allah mengajar kita untuk bersifat rahmah dan berkasih sayang sesama manusia termasuk bersama pemimpin. Teguran boleh disampaikan kepada sesiapa sahaja, namun percakapan kasar dan merendah-rendahkan orang lain hendaklah dijauhi sebaliknya menegur dengan perkataan yang sesuai. Syeikh Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat itu menjelaskan agar Nabi Musa dan Nabi Harun meninggalkan sikap kasar dalam dakwah baginda berdua sekali gus menjadikan Firaun berasa takut dengan seksa yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Begitu juga sebaliknya jika ada pemimpin yang kasar perkataannya dan keras hatinya akan menjauhkan orang ramai daripadanya kerana sifat itu secara fitrah dibenci manusia. Firman Allah dalam Surah ali Imran ayat 159 yang bermaksud: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan mohonlah ampun bagi mereka serta bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu), bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya."

Adab dan akhlak juga mesti dizahirkan melalui sifat hormat kepada golongan yang berlainan agama dan kepercayaan. Firman Allah dalam Surah al-An'am ayat 108 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka lakukan."

Menghormati maruah insan adalah suatu tuntutan sebaliknya perbuatan mengaibkan orang lain yang belum terbukti bersalah serta mencanang atau menularkan berita tentang kesalahan orang lain bukanlah menjadi sebahagian daripada adab dan akhlak Islam. Perbuatan itu hanya akan meninggalkan kesan moral dan gangguan psikologi yang mendalam. Sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda baginda yang bermaksud: "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslim yang lain, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat." Riwayat Ibn Majah Selain itu, amalan percakapan dengan meninggikan suara, memaki hamun, memfitnah, menggunakan bahasa kesat dan isyarat lucah serta menjadi jaguh siber yang 'tidak bertauliah' mestilah dihindari. Beberapa kes mutakhir ini yang dilaporkan media seperti pergaduhan pelajar sekolah sehingga mendatangkan kecederaan serta pembunuhan kejam seorang wanita oleh teman lelakinya adalah sebahagian petanda krisis adab serta akhlak yang mesti dipulihkan segera.

Rukun kesejahteraan dan keharmonian seperti dinyatakan dalam salah satu prinsip gagasan Malaysia Madani iaitu hormat wajar dihayati dan diterapkan oleh semua lapisan masyarakat agar maruah serta martabat insan dapat dikembalikan. Hormat atau adab yang membawa maksud budi bahasa, kesopanan dan ketawadukan dilihat bukan semata-sama menjadi asas kepada tingkah laku, tetapi juga sebagai teras utama kepada sebuah peradaban bangsa. Hanya manusia yang memiliki sifat hormat, beradab dan berakhlak akan dianugerahkan kejayaan sebenar atau al-Falah dalam kehidupan di dunia dan akhirat seperti yang digariskan oleh syariat Islam.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 6:00 AM