JAMIL (tengah) ketika sidang media di Persidangan Penyelarasan Pengurusan Perkahwinan Antara Ketua  Pendaftar Nikah Cerai Rujuk di Malaysia.
JAMIL (tengah) ketika sidang media di Persidangan Penyelarasan Pengurusan Perkahwinan Antara Ketua Pendaftar Nikah Cerai Rujuk di Malaysia.
myMetro

Kangar: Setiap pasangan yang bernikah di selatan Thailand perlu mendaftarkan pernikahan mereka dengan segera di negara ini bagi mengelak berlaku pelbagai masalah pada masa hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah pasangan dari negara ini yang bernikah di selatan Thailand semakin meningkat pada setiap tahun.

“Walaupun sah pernikahan itu, tetapi sikap pasangan berkenaan yang mengambil ringan untuk mendaftar semula pernikahan mereka di negara ini menyebabkan wujudnya pelbagai kesan lanjutan atas kelalaian berkenaan.

“Banyak pasangan tidak tahu atau mengambil sikap sambil lewa untuk mendaftar pernikahan mereka dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan pelbagai masalah terutama membabitkan kesukaran mendapatkan sijil kelahiran anak akan berlaku.

“Masalah ini akan berlanjutan kepada masalah lain seperti kesukaran anak mereka untuk didaftarkan masuk ke sekolah, tidak boleh membuat MyKad dan masalah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Penyelarasan Pengurusan Perkahwinan antara Ketua Pendaftar Nikah Cerai Rujuk di Malaysia dengan Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand kali ke-4, di sini, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:24 AM