PEMATUHAN peraturan boleh menjauhi keadaan tidak diingini dan mengelak turun naik mahkamah syariah. FOTO Arkib NSTP
PEMATUHAN peraturan boleh menjauhi keadaan tidak diingini dan mengelak turun naik mahkamah syariah. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Baru-baru ini, ramai orang memperkatakan tentang pernikahan yang dilaksanakan menerusi sindiket sekali gus mengundang pelbagai masalah pada kemudian hari.

Pada asalnya, bernikah adalah ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjadi sunah junjungan mulia, Rasulullah SAW.

Bernikah juga dituntut sebagai suatu usaha menyambung silaturahim serta keturunan seseorang pada masa hadapan di samping membina keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat.

Di atas dasar berkenaan serta tujuan yang sangat murni, Islam menetapkan setiap pernikahan yang dilaksanakan wajib memenuhi rukun serta syaratnya agar matlamat utama pernikahan bersesuaian dengan satu daripada Maqasid Syariah iaitu tuntutan dalam 'memelihara nasab'.

Nikah sindiket ini juga boleh ditakrifkan sebagai pernikahan yang dilaksanakan di sempadan iaitu di luar negara dan setiap pasangan yang bernikah menerusi kaedah itu perlu mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negara ini.

Tanpa disedari, terdapat bahana atau implikasi yang sangat jelas kepada pasangan yang menyembunyikan pernikahan ini dan kelak ia akan menimbulkan bermacam masalah.

Memetik khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjelaskan terdapat pelbagai elemen yang mendorong kepada pasangan memilih jalan pintas menerusi pernikahan sindiket ini:

1. Berpoligami tanpa kebenaran dengan alasan ia lebih mudah tanpa melalui proses di mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri sedia ada, sedangkan berpoligami dianjurkan antaranya dapat membina jaringan keluarga yang lebih luas dengan sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.

2. Mendakwa wali nasab sedia ada tidak bersetuju atau enggan, sedangkan perkara ini boleh diselesaikan dengan permohonan wali hakim atau wali raja di Mahkamah Rendah Syariah dan ia lebih mudah dan selamat daripada kesan negatif jangka panjang.

3. Pasangan yang terlanjur hinggakan ada yang mengandung. Oleh sebab itu mereka yang menganggap bernikah di luar negara dapat menutup aib, sedangkan hakikatnya setiap perbuatan dosa itu tetap wajib bertaubat dan bersedia bertanggungjawab dengan kelahiran anak yang mungkin menjadi tidak sah taraf.

4. Pasangan yang bernikah dengan warga asing dengan anggapan ia mudah kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran pihak bertanggungjawab bagi warga asing berkenaan, sedangkan proses pendaftaran tanpa kebenaran akan mengambil masa yang lama dan biasanya akan menyebabkan kesukaran mendapatkan visa untuk terus tinggal di negara ini.

5. Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara kerana belajar atau bekerja di luar negara sering mengaggap tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa sedangkan pelbagai kemudahan telah ada bagi mendapatkan kebenaran untuk berkahwin.

Khutbah itu juga menyatakan bahawa antara bahana nikah luar negara tanpa kebenaran atau pernikahan secara sindiket adalah:

1. Proses pendaftaran pernikahan itu akan memakan masa yang panjang kerana melibatkan prosiding dan dokumentasi untuk didaftarkan semula kerana membabitkan pengesahan daripada mahkamah dan akan bertambah rumit sekiranya dokumen yang dikemukakan tidak mencukupi atau palsu.

2. Jika tidak didaftarkan, maka tiada Surat Perakuan Nikah yang benar akan diperoleh dan kita perlu sedar Surat Perakuan Nikah sangat penting dalam kehidupan sebagai suami isteri, tanpanya kita tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak seperti biasa lalu mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara juga tidak dapat dipastikan. Urusan perubatan, rawatan dan pendidikan anak juga akan bermasalah jika tidak mendapat status warganegara.

3. Menghadapi masalah dalam urusan penyambungan visa untuk terus berada dalam negara ini yang akhirnya terpaksa berulang-alik ke luar negara yang memerlukan kos kewangan yang tinggi.

4. Pengurusan harta pusaka juga akan turut terkesan kerana pihak yang berkaitan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf.

5. Pelbagai tuntutan di mahkamah seperti perceraian, pengesahtarafan anak, nafkah, hadanah, keadilan berpoligami antara isteri, harta sepencarian dan sebagainya tidak dapat diuruskan disebabkan gagal mengemukakan Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.

6. Perlu diingat juga, bahana yang sangat memeritkan adalah apabila mahkamah mendapati pernikahan yang dijalankan di luar negara tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak, maka pernikahan yang berlaku akan difaraqkan atau dibubarkan. Kaedah fiqh menyatakan: "Asal dalam perkara jimak adalah haram."

7. Tindakan undang-undang di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 boleh dikenakan kerana bernikah tanpa kebenaran dan boleh dikenakan denda RM1000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Antara kesalahan yang akan dikenakan denda seperti yang disebutkan juga adalah kesalahan Seksyen 124 poligami tanpa kebenaran, Seksyen 40 akad nikah tanpa kebenaran, Seksyen 31 lewat mendaftar perkahwinan dan Seksyen 134 bersubahat melakukan pernikahan.

Khutbah itu juga menyentuh hakikat bahana perkahwinan luar negara tanpa kebenaran atau pernikahan sindiket, umat Islam wajib mengambil pengajaran seperti berikut:

1. Pernikahan yang hendak dilaksanakan mestilah mengikut hukum syarak dan segala peraturan ditetapkan oleh pemerintah demi sebuah kehidupan keluarga yang mawaddah wa rahmah, sakinah dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.

2. Pernikahan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut peraturan akan membawa pelbagai masalah dan merugikan banyak pihak terutama suami isteri kerana tidak mempunyai Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.

3. Undang-undang yang dibuat bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak, bahkan tujuan utama Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dikuatkuasakan bagi menjaga kebajikan isteri dan anak pada masa akan datang.

Berdasarkan firman Allah SWT: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir." (Surah ar-Rum ayat 21)

Sebagai satu teladan, amat wajar bagi setiap pasangan untuk memikirkan kaedah terbaik yang bertepatan dengan syarak serta perundangan syariah di negara ini untuk menyelamatkan daripada pelbagai masalah pada masa depan sekali gus dapat memelihara keturunan.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 7:01 AM