BERNAMA

Kangar: Kerajaan Negeri Perlis sedang meneliti beberapa perkara bagi memudahkan proses pendaftaran pernikahan pasangan Islam di Perlis yang bernikah di luar negara, terutama di Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Khairi Hassan berkata, ia bertujuan memastikan umat Islam yang bernikah di luar negara kerana pelbagai sebab, termasuk poligami tidak terbeban dengan urusan mendaftar semula perkahwinan mereka di Malaysia.

"Kerajaan negeri memandang serius hal ini bagi mengelak masalah pada masa akan datang terutama berkaitan urusan waris, dokumentasi anak, harta, persekolahan dan sebagainya," katanya.

Khairi menjawab soalan dikemukakan Mohd Shukri Ramli(PAS-Sanglang) yang mendakwa banyak pengaliran wang keluar untuk urusan berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini .

Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) kini membincangkan proses pendaftaran pernikahan kepada mereka yang bernikah di negara jiran terutamanya, tidak perlu lagi melalui perbicaraan di Mahkamah Syariah seperti biasa yang akan mengambil masa lebih lama.

“Melalui sistem ini, pasangan hanya perlu menyediakan dokumentasi sahih dan lengkap berkaitan pernikahan mereka di luar negara kepada Mahkamah Syariah dan membayar kompaun ditetapkan JAIPs.

“Buat masa ini, kami belum menetapkan jumlah kompaun itu namun berkemungkinan ditetapkan kira-kira RM2,000 untuk setiap pasangan," katanya.

Menurut Khairi, perbincangan juga sedang diteliti untuk membenarkan pasangan dari luar Perlis yang berpoligami dan bernikah di luar negara mendaftarkan perkahwinan di negeri ini dengan syarat pasangan berkenaan perlu tinggal (bermastautin) di Perlis lebih daripada tiga hari.

"Bagaimanapun, kuasa mahkamah harus meluluskan permohonan perkahwinan baru itu menerusi satu surat pemberitahuan yang dikeluarkan kepada pasangan (isteri pertama) jika berpoligami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:07 PM