SEBAHAGIAN daripada pelayan warga asing yang dicekup.
SEBAHAGIAN daripada pelayan warga asing yang dicekup.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Lapan wanita warga asing ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Jalan Kedah, di sini, malam kelmarin.

Operasi jam 9 malam itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen negeri hasil maklumat awam mengenai kegiatan tidak bermoral di sebuah pusat hiburan yang sebelum ini sudah beberapa kali diserbu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen negeri.

Ketua Operasi yang juga Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (Tinggi) Pulau Pinang Fairos Ismail berkata, dalam pemeriksaan itu seramai tiga wanita China dan lima Vietnam berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, wanita itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, namun gagal selepas seluruh kawasan dikepung.

“Hasil siasatan mendapati semua wanita itu menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di negeri ini tanpa permit sah dan kami masih menyiasat sama ada mereka terbabit dalam sindiket pelacuran dan pemerdagangan manusia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki permit kerja serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Selain itu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 55(b) akta sama iaitu melindungi pekerja warga asing tanpa kebenaran dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 10:47 AM