Jabatan Imigresen Pulau Pinang bersama Rela memeriksa dan menahan warga asing yang tiada permit bekerja yang sah operasi di kawasan projek penambakan laut, Gurney Drive, Georgetown, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Jabatan Imigresen Pulau Pinang bersama Rela memeriksa dan menahan warga asing yang tiada permit bekerja yang sah operasi di kawasan projek penambakan laut, Gurney Drive, Georgetown, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 40 lelaki warga asing selepas disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dalam operasi di kawasan projek tambakan laut di Tanjung Tokong di sini pagi tadi.

Operasi menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu bermula jam 10 pagi hingga 3 petang membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Penolong Pengarah Imigresen negeri, Khwaja Banthey Navaz Mohd Hanief berkata, dalam operasi itu tiga lokasi diperiksa iaitu pulau buatan manusia, kapal terbabit dengan projek tambakan laut dan pejabat kontraktor di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menyewa bot untuk membuat pemeriksaan dan seramai 70 orang lelaki warga asing pelbagai negara ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan 40 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk menyalahguna pas lawatan sosial mereka dengan bekerja secara haram tanpa permit.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1959/1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:13 PM