ANGGOTA polis menyiasat lokasi kejadian di Kampung Sungai Ular, semalam.
ANGGOTA polis menyiasat lokasi kejadian di Kampung Sungai Ular, semalam.
myMetro

Kuantan: “Lelaki itu mencampakkan anak saya atas jalan raya selepas menyedari dia dikejar. Dia kemudian melarikan diri ke dalam semak kira-kira 20 meter dari rumah,” kata Salmi Mohamed Yusof, 40, bapa kepada Nur Aznidawati, 16, yang cuba diculik seorang lelaki tidak dikenali di rumahnya di Kampung Sungai Ular, di sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 2 pagi, Nur Aznidawati cuba dilarikan oleh seorang lelaki dipercayai penagih dadah yang menceroboh rumah keluarga terbabit.

Menceritakan kejadian itu, Salmi yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, Nur Aznidawati tidur bersama dua lagi adik-beradiknya di sebuah bilik di rumah itu.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar anaknya menjerit meminta pertolongan sebelum dia bergegas bangun untuk memeriksa keadaan.

Dia kemudian mendapati pintu dapur rumahnya terbuka dan mendapati seorang lelaki berlari sambil memikul anaknya ke arah semak berhampiran.

Katanya, dia terus mengejar menyebabkan lelaki itu terkejut dan melepaskan anaknya di atas jalan raya sebelum melarikan diri.

“Saya hanya mendengar jeritan anak meminta pertolongan sekali saja, manakala dua lagi adik-beradiknya langsung tidak menyedari lelaki itu menceroboh ke dalam bilik dan melarikan Nur Aznidawati,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Salmi berkata, lelaki itu menceroboh masuk ke rumahnya selepas mencabut tiga keping tingkap nako sebelum menekup mulut anaknya itu dengan tangan dan melarikan diri melalui pintu dapur.

“Saya bersyukur kerana Nur Aznidawati yang juga anak ketiga daripada enam beradik hanya cedera ringan, namun dia masih fobia dan takut kejadian sama berulang,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan dan yakin suspek mempunyai niat jahat terhadap anaknya, namun akan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan anaknya pada masa akan datang.

“Anak saya hanya mampu menangis selepas kejadian ini kerana dia masih terbayang-bayang perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

“Dia juga takut untuk keluar dari rumah,” katanya yang tidak dapat mengecam wajah suspek kerana keadaan gelap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika mengesahkan kejadian itu berkata, polis sudah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian selepas menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata, pihaknya masih memburu suspek dan meminta kerjasama penduduk setempat yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kes itu dan mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana cubaan menculik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 9:58 AM