Mayat mangsa dibawa kenderaan polis. FOTO Shamsudin Husin
Mayat mangsa dibawa kenderaan polis. FOTO Shamsudin Husin
Oleh Shamsudin Husin

Chukai: Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui lemas di Sungai Kemaman dalam kejadian di Kampung Teladas, Air Putih, di sini, kira-kira jam 3.45 petang tadi.

Mayat Muhammad Amin Bakhtiar Mustafa ditemui tersangkut pada kayu kira-kira 40 meter dari tempatnya dipercayai terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, sebelum kejadian kanak-kanak itu dikatakan bermain air di tepi sungai sebelum dihanyutkan arus deras.

"Selepas menyedari kejadian itu, keluarga mangsa dengan bantuan beberapa penduduk kampung membantu mencari mangsa yang tenggelam sebelum menemuinya pada 3.45 petang.

"Mangsa sebelum itu berkelah bersama ibunya yang berusia 42 tahun, dua adik-beradiknya serta seorang rakan kakaknya di sungai berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 10:38 PM