Keadaan kanak-kanak itu sebelum meninggal dunia. FOTO Agensi
Keadaan kanak-kanak itu sebelum meninggal dunia. FOTO Agensi
X-RAY menunjukkan pencakar kebun pada tengkorak kanak-kanak itu. FOTO Agensi
X-RAY menunjukkan pencakar kebun pada tengkorak kanak-kanak itu. FOTO Agensi
Agensi

Nairobi: Sungguh mengerikan apabila seorang kanak-kanak di Kenya, menderita hampir 20 jam sebelum meninggal dunia akibat pencakar tersangkut pada kepalanya.

Pencakar ialah alatan pertanian yang tajam dan biasanya digunakan untuk menggemburkan tanah sebelum menanam atau menyemai benih pokok.

Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu meninggal dunia akibat komplikasi selepas doktor berjaya mengeluarkan pencakar berkenaan.

Insiden ngeri itu berlaku ketika kanak-kanak itu bermain bersama adik-beradiknya dan kanak-kanak lain.

Kemalangan itu berlaku apabila kanak-kanak itu dipukul oleh salah seorang adik-beradiknya dengan menggunakan pencakar yang disimpan di dalam rumah.

Ibunya, Judy Muthoni mengesahkan, anaknya yang dipanggil Javis Maina dari Kilimambogo, sebuah bandar berhampiran Nairobi, meninggal dunia semasa menjalani pembedahan di Hospital Nasional Kenyatta (KNH) di ibu negara, pada petang Selasa lalu.

Menurut kenyataan keluarga, Maina dirujuk ke KNH kira-kira 6 petang Isnin lalu, namun selama 20 jam, dia hanya diletakkan dalam pemerhatian sahaja tanpa pembedahan segera.

Sementara itu, Jabatan Komunikasi KNH berkata, pihaknya menafikan lewat merawat kanak-kanak itu serta mendakwa, prosedur itu mungkin berbahaya, jika tidak dilakukan pada masa yang sesuai.

Sebelum ini, hospital itu pada Selasa mengeluarkan kenyataan, pesakit kehilangan banyak darah dan akibatnya proses pembekuan darah tidak berlaku seperti yang diharapkan, sekali gus melambatkan prosedur pembedahan kerana ini akan membahayakan pesakit.

KNH kemudiannya mengeluarkan kenyataan berasingan mengesahkan kanak-kanak itu mengalami pendarahan dan bengkak pada otak.

"Darahnya tidak membeku, jadi doktor memberinya ubat untuk membantunya sambil mengekalkan dia di bawah pengawasan sehingga mereka dapat meneruskan pembedahan pada waktu pagi, 11 Oktober.

"Namun, dia mengalami komplikasi semasa pembedahan dan keadaannya merosot dengan cepat sebelum meninggal dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 11:56 AM