Oleh Kamal Majid

Jeli: “Sehingga kini suara adik meminta tolong masih terngiang-ngiang di telinga sebelum dia dibawa arus deras,” kata Siti Nur Salmi Azmi, 22, kakak kepada Siti Nur Syarmila, 18, yang dikhuatiri lemas di Sungai Pergau, Kampung Timur, Kuala Balah, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Siti Nur Syarmila dibawa arus deras ketika sedang mandi bersama adik-beradiknya.

Sehingga jam 4 petang semalam, gerakan mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan.

Siti Nur Syarmila yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikatakan pergi berkelah di sungai berkenaan bersama dua adik-beradiknya iaitu Siti Nur Salmi dan Siti Nur Shahira, 14, serta sepupu mereka Aini Shahira Zaki, 16.

Siti Nur Salmi berkata, ketika kejadian, dia sedang mandi tidak jauh dari dua beradiknya dan sepupu.

Katanya, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi bising kerana arus sungai secara tiba-tiba menjadi deras dipercayai air pasang sebelum melihat ketiga-tiga mereka menjerit meminta tolong.

“Saya terus berlari ke arah mereka dan cuba sedaya upaya menarik Siti Nur Shahira dan Aini Shahira ke arah tebing.

“Sebaik saya berpatah balik untuk menarik tangan Siti Nur Syarmila yang ketika itu sedang berpaut di dahan pokok, dia sudah dibawa arus deras.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana arus ketika itu sangat kuat dan masih terngiang-ngiang suara Siti Nur Syarmila yang meminta tolong sebelum dibawa arus,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Siti Nur Salmi berkata, dia kemudian berlari pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya sebelum memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Sebelum ini hampir setiap minggu kami akan berkelah di sungai berkenaan kerana kedudukannya berhampiran dengan rumah, namun sudah hampir dua minggu tidak mandi di situ kerana cuaca tidak menentu.

“Saya tidak sangka perkara sebegini akan berlaku dan air sungai tiba-tiba menjadi deras dan dalam. Saya berdoa supaya adik ditemui secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Zulkifli Hussin, berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu jam 2.13 petang sebelum mengerahkan anggota ke lokasi terbabit.

“Sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan gerakan mencari masih diteruskan dengan dibantu pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:12 AM