ANTARA penerima bantuan zakat di Majlis Bandar Diraja Klang.
ANTARA penerima bantuan zakat di Majlis Bandar Diraja Klang.
Ayusliza Azizan

Klang: Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan individu atau pertubuhan yang menjalankan aktiviti kutipan zakat di negeri ini tanpa mendapat kebenaran dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sehubungan itu, MAIS melantik Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai amil dan pentadbir bagi menguruskan semua perkara berkaitan kutipan dan agihan zakat di Selangor berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan Zakat dan Fitrah (Selangor) 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Hussin Mohd Ali berkata, ia bagi menyelaraskan aktiviti kutipan dan agihan zakat dan LZS melantik 13 penolong amil institusi pengajian tinggi, 2,569 penolong amil fitrah, enam penolong amil institusi pendidikan Islam, 63 penolong amil padi, 16 ejen syarikat, 30 ejen firma dan percukaian, 19 ejen bank dan pejabat pos.

“Zakat Selangor sentiasa mengemas kini maklumat berkenaan ejen dan penolong amil dari semasa ke semasa di laman sesawang Zakat Selangor, http://www.zakatselangor.com.my.

“Manakala penolong amil fitrah dan padi boleh dikenal pasti melalui surat pelantikan dan kad tauliah sah yang dikeluarkan LZS.

“Oleh yang demikian, mana-mana individu atau pertubuhan yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah Negeri 1995.

“Mereka yang disabitkan kesalahan mengikut peruntukan ini boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas majlis penyerahan wang zakat kepada 794 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskim di daerah ini di Masjid Bandar Diraja Klang, di sini, semalam. Bantuan disampaikan Orang Besar Daerah Klang Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh.

Hussin berkata, orang ramai disaran untuk melaporkan sebarang aktiviti pungutan zakat oleh individu yang tidak dilantik atau diberi kuasa oleh MAIS atau Zakat Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 10:33 AM