SAIPOLYAZAN M Yusop. FOTO arkib NSTP
SAIPOLYAZAN M Yusop. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pembayaran zakat di negeri ini kini lebih mudah apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik platfom e-dagang, Shopee sebagai ejen kutipan bagi bayaran zakat secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop memaklumkan, menerusi aplikasi itu, pengguna Shopee boleh menunaikan pembayaran zakat harta serta fitrah tanpa had kepada LZS pada bila-bila masa dengan lebih mudah dan pantas mulai 18 Disember ini.

"Pengguna hanya perlu memilih pembayaran zakat melalui 'Deals, Top-ups & Bills' dalam aplikasi Shopee dan ikuti langkah-langkah mudah yang diberikan.

"Pembayaran zakat boleh dilakukan melalui dompet mudah alih ShopeePay, kad debit, perbankan atas talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven," katanya pada kenyataan hari ini.

Sementara itu, kempen zakat di platform Shopee juga akan berlangsung daripada 22 Disember hingga 31 Disember ini, yang mana 1,000 pembayar zakat terawal setiap hari sepanjang tempoh kempen akan menerima 200 syiling (coin) daripada Shopee.

Saipolyazan berkata, Shopee adalah platform e-dagang pertama yang bekerjasama dengan LZS, dan ia dilakukan tepat pada masanya.

"LZS sentiasa mempelbagaikan saluran bayaran bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat dengan selamat terutamanya dalam situasi norma baharu pada masa kini.

"Justeru, kerjasama ini dijangka akan dapat membantu ramai pengguna Shopee terutamanya dalam kalangan Muslim menunaikan zakat," katanya.

Menurutnya lagi, menerusi aplikasi berkenaan, umat Islam berkemampuan dan memenuhi syarat zakat dapat sama-sama membantu kelangsungan hidup golongan asnaf di Selangor yang terjejas akibat Covid-19.

Dalam perkembangan sama, pengeluar zakat yang menunaikan zakat di LZS melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan termasuk Shopee, bermula 1 hingga 31 Disember berpeluang menyertai peraduan Jom Bayar & Menang dan memenangi hadiah menarik bersempena dengan Kempen My2.5.

Maklumat terkini berkaitan kempen My2.5 akan sentiasa diwar-warkan di saluran rasmi LZS di www.zakatselangor.com.my/my2point5 atau Facebook dan instagram ZakatSelangor.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 4:58 PM