GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengekalkan kadar Zakat Fitrah tahun ini mengikut harga beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, kadar zakat itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan pada kadar satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

"Kadar zakat fitrah RM7 seorang adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan harian beras jenis 'super special' tempatan dan ia adalah kadar wajib minima sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

"Manakala kadar RM14 seorang adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi. Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, LZS melantik 2,642 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) sepanjang Ramadan.

"Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui 17 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 92 Maahad Tahfiz serta Sekolah Agama Swasta di negeri Selangor," katanya.

Mohd Sabirin berkata, LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian seperti EZakatPay dan perbankan Internet.

LZS juga akan membuka 18 cawangannya di Selangor setiap hari termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini.

"Waktu urusan pada hari bekerja bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 2:00 PM