SAIPOLYAZAN Mat Yusop menunjukkan kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Selangor bulan Ramadan tahun ini. FOTO Ruwaida Md Zain
SAIPOLYAZAN Mat Yusop menunjukkan kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Selangor bulan Ramadan tahun ini. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam Selangor tahun ini sebanyak RM7 seorang kekal seperti tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan Mat Yusop berkata, ia selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di Selangor.

“Penetapan itu berdasarkan kepada harga 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh penduduk di Selangor.

“Bagaimanapun, LZS menggalakkan golongan berkemampuan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. Ini digalakkan sejak 2018.

“Kadar zakat fitrah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah,” katanya ketika sidang media di Bangunan Zakat Selangor, Seksyen 13 di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS Abdul Basith Hamid dan Ketua Divisyen Kutipan LZS Sabirin Sarbini.

Saipolyazan berkata, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat mengambil kira situasi wabak Covid-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini.

“Bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada Ramadan juga boleh dibayar secara dalam talian melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my.

“Ia juga boleh bayar menerusi perbankan Intermet di sembilan bank ialtu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank.

“Selain itu, bayaran boleh dibuat melalui Portal MyEg, Pos Online, Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.

“Di samping itu, LZS turut meletakkan QR Code di lokasi terpilih untuk memudahkan masyarakat mengakses terus ke platform pembayaran atas talian EzakatPay,” katanya.

Selain daripada pembayaran zakat fitrah dan harta katanya, masyarakat Islam juga boleh membuat pembayaran fidyah melalui EZakatPay.

Bagaimanapun, katanya, jika PKP diteruskan, LZS sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung cara pelaksanaan bayaran bagi mereka di luar bandar yang tidak celik teknologi maklumat (IT).

“Sebelum ini, 90 peratus membayar menerusi amil fitrah dan ini kali pertama kita laksanakan pembayaran zakat fitrah melalui dalam talian secara menyeluruh.

“Kita faham ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak tahu buat bayaran secara atas talian, jadi kita akan melaksanakan kutipan jika diluluskan pihak berkuasa melalui penolong amil kariah tertakluk kepada prosedur dan garis panduan pihak berkuasa untuk memastikan tiada penularan Covid-19 disebabkan kutipan ini.

“Minggu ini, kita akan dapatkan keputusan kaedah melaksanakan bayaran. Perbincangan ini merujuk kepada 500 masjid di seluruh Selangor dan penolong amil berisiko tidak dibenarkan kutipan termasuk mempunyai penyakit dan berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 2:34 PM