Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengumumkan zakat fitrah di negeri itu pada tahun ini kekal seperti tahun lalu iaitu RM7 bagi individu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIPS) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, berikutan itu pihaknya mensasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini berjumlah RM21.5 juta.

Katanya, LZS melantik 2,422 ketua dan penolong amil fitrah di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 26 cawangan LZS di seluruh Selangor di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang.

"Zakat juga boleh ditunaikan melalui penolong amil IPT (institusi pengajian tinggi) di 10 IPT seluruh negeri.

"Selain itu LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 4:51 PM