VAN persendirian tak boleh jalankan aktiviti perniagaan dengan membawa penumpang .
VAN persendirian tak boleh jalankan aktiviti perniagaan dengan membawa penumpang .
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan pemantauan dan operasi bagi mengekang kemasukan van persendirian atau 'roktu' dari Thailand yang mengambil penumpang sebelum dibawa ke destinasi masing-masing.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, van persendirian ini tidak boleh menjalankan aktiviti perniagaan dengan membawa penumpang.

Katanya, pemilik van ini masuk sebagai van persendirian, namun mereka mengambil penumpang dan dibawa ke destinasi lain.

"Secara teknikalnya kenderaan yang mereka guna adalah kenderaan persendirian dan boleh masuk kalau lengkap dengan dokumen yang diperlukan, tetapi mengambil penumpang itu salah.

"Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) baru-baru ini juga menyatakan kerajaan menguatkuasakan undang-undang dengan tidak membenarkan pengusaha van pelancong dari Thailand membawa masuk kenderaan mereka.

"Sebaliknya, hanya bas pelancong dari sana sahaja yang dibenarkan masuk membawa penumpang, namun perlu membuat permohonan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," katanya.

"Namun, masih ada van dari negara itu masuk dan membawa penumpang. Justeru, pihak kita akan mengadakan pemantauan dan operasi bagi membanteras kegiatan van penumpang daripada berleluasa," katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam, Harian Metro melaporkan pemandu van persendirian Thailand atau lebih dikenali sebagai 'roktu' kembali aktif sehingga menjejaskan pendapatan pemandu kereta sewa tempatan.

Tindakan ini menyebabkan pemandu kereta sewa tempatan di sekitar Rantau Panjang semakin tersepit apabila mereka tidak dapat mencari makan berikutan tiada penumpang.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Rantau Panjang mendapati 'roktu' aktif pada waktu petang apabila lebih lima van kelihatan membawa penumpang atau menurunkan penumpang di sekitar bandar ini.

Mohd Misuari berkata, pihak penguat kuasa JPJ akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang perkara itu.

"Namun, kita kena selaras dengan beberapa negeri yang bersempadan termasuk Perak, Kedah dan Perlis supaya penguatkuasaan ini dilakukan bersama.

"Kalau kita sekat kemasukan van ini di Kelantan, mereka (van) akan masuk ikut Bukit Kayu Hitam dan negeri lain. Jadi isu ini tidak selesai juga," katanya.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 7:10 AM