SHARIFAH Azizah (duduk tengah) bersama-sama 25 Ketua Wanita Bahagian menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar Johor.
SHARIFAH Azizah (duduk tengah) bersama-sama 25 Ketua Wanita Bahagian menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar Johor.
Adnan Ibrahim

Kluang: Semua 26 Bahagian Pergerakan Wanita UMNO Johor sebulat suara menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin selepas mengadakan mesyuarat khas di sebuah hotel di sini, semalam

Ketuanya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, kepimpinan Wanita UMNO Johor menolak sekeras-kerasnya unsur yang cuba untuk mengadu domba Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Mohamed Khaled.

Beliau berkata, Wanita UMNO Johor percaya Perdana Menteri cukup yakin dengan corak kepimpinan Mohamed Khaled untuk membawa Johor terus cemerlang dalam apa juga perancangan.

“Sejak beliau (Mohamed Khaled) menerajui kepimpinan negeri ini, kami tidak melihat sebarang kepincangan dalam mentadbir urus, malah apa yang berlaku ialah satu transformasi pembangunan berterusan.

“Keprihatinan beliau terhadap gerak kerja yang dilakukan oleh Wanita UMNO juga dilihat sebagai tanda kepercayaan terhadap perancangan dilakukan untuk memastikan negeri ini terus ditadbir oleh Barisan Nasional (BN),” katanya.

Sharifah Azizah berkata, sebagai barisan tulang belakang kekuatan UMNO negeri, pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk memecah belahkan perpaduan dan kekuatan parti.

“Kami rela bersinsing lengan berjuang habis-habisan demi untuk mempertahankan martabat UMNO untuk terus menjadi peneraju kepimpinan di negeri ini untuk selama-lamanya.

“Justeru itu, Wanita UMNO tidak akan duduk diam untuk terus mendekati masyarakat dalam apa cara sekalipun demi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 7:29 AM