SEBAHAGIAN pemandu kereta sewa Kelantan yang hadir dalam sidang media di sini, tadi.
SEBAHAGIAN pemandu kereta sewa Kelantan yang hadir dalam sidang media di sini, tadi.
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Persatuan Kereta Sewa Kelantan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera termasuk mengkaji semula syarat pengeluaran Permit Edaran Antarabangsa (ICP) untuk mengatasi masalah lambakan kereta sewa dari negara Thailand di negeri ini.

Presidennya, Ramli Mat Yacob berkata, langkah itu perlu diambil segera susulan pertambahan perkhidmatan kereta sewa yang lebih dikenali sebagai prebet sapu itu sejak 10 tahun lalu.

Katanya, sekiranya tiada tindakan segera diambil ia boleh menyebabkan lebih 2,000 pemilik kereta sewa berdaftar di negeri ini akan hilang mata pencarian.

"Sebelum ini prebet sapu dari negara jiran hanya ada beberapa buah sahaja, namun kini sudah meningkat kepada lebih 100, itu belum lagi prebet sapu dalam kalangan penduduk tempatan sendiri yang mencecah lebih 2,000.

"Prebet sapu dari negara jiran ini dipercayai menyalahgunakan ICP dengan mengambil penumpang dari negeri ini sehingga menjejaskan pendapatan kami. Malah mereka kini sudah berani mengambil penumpang di lapangan terbang dan hentian kereta sewa yang disediakan persatuan.

"Sebelum ini kami mampu peroleh antara RM50 hingga RM100 sehari, namun kini nak dapat seorang penumpang pun susah," katanya dalam sidang media di sini, tadi.

Ramli berkata, sehingga kini, lebih 300 pemandu kereta sewa berdaftar terpaksa mencari pekerjaan lain kerana pendapatan terjejas.

Menurutnya, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menghantar memorandum, mengadakan sesi dialog dan perbincangan dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun sehingga kini tiada sebarang perubahan.

"Kepada siapa lagi kami mahu bergantung harap untuk membela nasib kami, kalau bukan dengan pihak berkuasa.

"Kami tidak mahu tuding jari kepada sesiapa tapi kami harap pada tahun ini sesuatu dilakukan untuk menyelesaikan masalah kami ini dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:33 PM