Mohammad Ghazali menunjukkan tangan kirinya hampir putus  selepas  digigit  kera peliharaannya.
Mohammad Ghazali menunjukkan tangan kirinya hampir putus selepas digigit kera peliharaannya.
Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: “Gigitannya terlampau kuat menyebabkan kulit tangan saya koyak,” kata Mohammad Ghazali, 61, yang hampir putus tangan kiri selepas diterkam kera peliharaannya di Kampung Lenjang, Hulu Terengganu.

Tukang kebun berkenaan berkata, kejadian jam 1 tengah hari, Jumaat lalu itu berlaku ketika dia menjenguk kera yang dibelanya sejak lima tahun lalu dalam sangkar berhampiran rumahnya.

Menurutnya, dia kemudian mendapati ikatan rantai leher kera berkenaan terlalu ketat menyebabkan dia cuba melonggarkannya bagi memudahkan haiwan itu bernafas.

Katanya, malangnya niat baiknya itu membawa padah apabila kera berkenaan bertindak agresif dan menyambar tangan kirinya.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya tidak sempat mengelak terkamannya hingga separuh daripada tapak tangan termasuk ke dalam mulutnya.

“Saya yang panik ketika itu segera menarik tangan daripada mulutnya, tetapi kulit tapak tangan saya terkoyak disebabkan gigitan taringnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Mohammad berkata, dia kemudian dibantu anaknya yang kebetulan berada berhampirannya sebelum membalut tangan kirinya itu yang berlumuran darah.

Menurutnya, dia dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke HSNZ kerana luka dialaminya terlalu dalam selain bimbang berlaku jangkitan kuman daripada mulut haiwan terbabit.

“Saya bela kera jantan itu sejak ia masih kecil dan tidak sangka hingga sekarang ia masih sukar untuk dijinakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 6:48 AM