Kuala Terengganu: “Lebih sejam saya terpaksa menahan kesakitan selepas tangan tersepit pada mesin tebu itu,” kata Mohammad Faiz Najmi Jalaluddin, 18, yang hancur ibu jari tangan kiri selepas ‘dibaham’ mesin pemerah tebu di Kampung Telemong, Hulu Terengganu, di sini, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dia sedang membantu ibunya, Faridah Karim, 45, mencuci mesin pemerah tebu berkenaan sebelum memulakan jualan air tebu.

Katanya, dia mengakui lupa mematikan suis enjin mesin berkenaan ketika mencuci mesin yang menelan ibu jari tangan kirinya.

“Saya tergamam bercampur pedih apabila ibu jari termasuk dan tersangkut ke dalam roda itu.

“Ketika hampir roda itu ingin menelan jari lain saya pantas mematikan suis dan meminta ibu memanggil ahli keluarga untuk mendapatkan bantuan.

“Sakit memang tidak terperi ketika itu dan saya menahannya lebih sejam sebelum abang kandung membuka roda itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah ( HSNZ), di sini, semalam.

Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telemong itu berkata, ibu jari tangan kirinya menjadi penyek dan pecah selepas dikeluarkan daripada roda besi berkenaan.

Menurutnya, dia yang ngeri melihat keadaan tangannya itu segera membalutnya sebelum dihantar ke HSNZ oleh ahli keluarga.

Katanya, dia bernasib baik kerana beritahu ibu jarinya itu ia masih boleh digunakan selepas menjalani rawatan dan rawatan susulan.

“Walaupun trauma dengan kejadian itu tetapi saya tetap akan membantu ibu untuk menjual air tebu sepanjang Ramadan ini.

“Saya akan lebih berhati-hati kelak bagi mengelak kejadian sama berulang kerana kali ini saya agak bernasib baik kerana tidak hilang jari,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:34 AM