ZAROMAN mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
ZAROMAN mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kuala Terengganu: “Tiga jam saya bertahan di atas dahan pokok sambil menjerit meminta tolong,” kata Zaroman Mat Hasan, 53, yang terlantar di hospital sejak seminggu lalu selepas cedera di paha dan betis kerana disondol babi hutan di Kampung Gunung, Hulu Terengganu.

Pekebun itu berkata, dia berada di kebun getahnya untuk membersihkan daun dan ranting kayu ketika kejadian jam 3 petang, Isnin minggu lalu.

Menurutnya, tidak lama berada di kebun itu tiba-tiba dia ternampak babi hutan setinggi paras pinggang orang dewasa merenung ke arahnya.

Katanya, dia yang panik ketika itu cuba berundur tetapi haiwan berkenaan menyondolnya beberapa kali sebelum dia rebah dan berlaku pergelutan.

“Saya cuba kepit kepala haiwan terbabit untuk menghentikan pergerakannya tetapi tindakan itu menyebabkan paha kiri ditusuk taring tajamnya.

“Saya cuba menepisnya tetapi tangan saya pula digigit hingga saya tidak berdaya melawan.

“Hampir 20 minit saya bertarung menyelamatkan diri dan selepas lari, saya memanjat pokok getah dan menunggu bagi mengelak amukan haiwan terbabit,” katanya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Bapa enam anak itu berkata, dalam keadaan betis dan tangan kirinya berlumuran darah, dia menunggu di atas pokok getah setinggi dua meter kerana haiwan terbabit tidak beredar.

Menurutnya, dia hanya mampu menjerit meminta tolong dengan harapan ada pekebun lain atau penduduk kampung berhampiran membantunya.

“Selepas tiga jam barulah suara saya didengari beberapa pekebun lain yang melalui kawasan itu.

“Saya bernasib baik kerana ada orang mendengar jeritan itu kerana badan saya ketika itu sudah lemah kerana kehilangan banyak darah dan tidak berdaya lagi untuk bertahan di atas pokok,” katanya.

Menurutnya, pekebun yang mendengar jeritannya itu mendapatkan bantuan penduduk kampung untuk menembak haiwan terbabit.

Katanya, dia dibantu dan dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke HSNZ untuk menerima rawatan pakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 5:09 AM