Ahmad Zaqwan melecur enam jari tangan kanan dan kiri. FOTO Aslina Abu Bakar
Ahmad Zaqwan melecur enam jari tangan kanan dan kiri. FOTO Aslina Abu Bakar
Zatul Iffah Zolkiply

MURID tingkatan satu menjadi mangsa kedua mercun di Terengganu selepas enam jari tangan kanan dan kirinya melecur apabila mercun bola yang dibakarnya tiba-tiba meletup sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Rusila, Marang, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi, mangsa, Ahmad Zaqwan Saidi, 13, dibawa bapanya, Saidi Sabwey, 55,ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila hanya cedera ringan di tangannya.

Menurut Ahmad Zaqwan, dia bermain mercun bola itu bersama tiga rakannya sebelum ia tiba-tiba meletup sebaik sumbunya dibakar.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan letupan itu menyebabkan tangan saya terasa panas sebelum saya bergegas pulang ke rumah

"Sebaik tiba di rumah, saya segera merendam tangan ke dalam air berisi ais bagi mengurangkan rasa panas sebelum bapa segera membawa saya ke HSNZ untuk rawatan.

"Saya memang menyesal sebab tidak mendengar nasihat bapa walaupun bapasering melarang saya bermain mercun," katanya yang membeli lima biji mercun bola dengan harga RM1 daripada seorang rakan.

Sementara itu, Saidi berkata, dia yang berada di rumah terkejut apabila melihat anaknya tergesa-gesa pulang sebelum bertindak merendam tangannya di dalam air berisi ais.

Katanya, anaknya itu kemudian memaklumkan jarinya cedera akibat terkena mercun bola sebelum membawanya ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

"Bukan tidak pernah melarang tetapi nasihat saya tidak diendahkan sehingga menyebabkan kejadian sama berulang kali kerana tahun lalu, anak ketiga pernah cedera kerana bermain mercun," katanya.

Semalam seorang murid tahun tiga nyaris kehilangan tangan selepas mercun bola yang digabungnya menjadi satu meletup dalam kejadian di Wakaf Beruas, Kuala Terengganu,

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Afiq Hamdi Mohd Rozi, 9, dikejarkan ke HSNZ selepas mengalami pendarahan serius di tangan kirinya akibat letupan berkenaan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 6:09 PM