RUMAH  di Jalan 14/3, Seksyen 14, Petaling Jaya yang tidak terurus serta dipenuhi barang lusuh.
RUMAH di Jalan 14/3, Seksyen 14, Petaling Jaya yang tidak terurus serta dipenuhi barang lusuh.

Petaling Jaya: Umpama tinggal dalam tempat pembuangan sampah. Itu yang dialami penduduk di Jalan 14/3, Seksyen 14, di sini, apabila menghidu bau busuk dari sebuah rumah di taman perumahan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Jika sekali imbas, kediaman berkenaan seperti tidak berpenghuni, namun di sebalik rumah yang kelihatan usang dan bersepah itu, ia dihuni seorang wanita berusia 60-an.

Malah, penduduk mendakwa, wanita berkenaan juga memelihara beberapa anjing yang sering dibiarkan berkeliaran di kawasan kejiranan sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan tetangga.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, keadaan bertambah teruk apabila rumah wanita berkenaan terbabit dalam kejadian kebakaran beberapa tahun lalu menyebabkan struktur bangunan rosak dan roboh.

Beliau berkata, bagaimanapun, wanita itu tidak membaikpulih rumahnya dan menyebabkan ia kelihatan seperti tidak berpenghuni.

“Rumahnya tidak terurus dan dipenuhi barang lusuh yang menyebabkan air bertakung. Perkara ini menimbulkan masalah jentik-jentik dan nyamuk sehingga mengganggu jiran lain.

“Saya sudah tidak sanggup lagi menghadapi situasi begini kerana terpaksa menghabiskan wang untuk mengupah pekerja racun serangga bagi membunuh nyamuk. Wanita itu seperti tidak hairan dengan keluhan jiran,” katanya.

Penduduk yang beragama Islam berkata, dia tidak selesa dengan situasi itu kerana anjing peliharaan wanita itu berkeliaran pada waktu malam dan tidur serta mencakar di bahagian atas kereta keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 8:56 AM