KAKITANGAN MBPJ membersihkan kediaman warga emas di Jalan 14/3, Seksyen 14, semalam.
KAKITANGAN MBPJ membersihkan kediaman warga emas di Jalan 14/3, Seksyen 14, semalam.
Oleh Siti Farahiyah Aziz


Petaling Jaya: Sejumlah tiga tan sampah sarap dibersihkan kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam operasi pembersihan sebuah rumah di Jalan 14/3, Seksyen 14, di sini semalam.

Rumah berkenaan yang dihuni seorang wanita berusia 60-an seperti tidak terurus dan kotor kerana gemar mengutip serta mengumpul sampah sarap.

Pegawai Komunikasi Korporat MBPJ Zainun Zakaria berkata, pihaknya sudah beberapa kali ke rumah itu bagi tujuan siasatan dan tindakan namun didapati penghuninya tiada serta keadaan kotor masih sama.

“Selepas mengeluarkan notis operasi pembersihan, seramai 15 anggota MBPJ daripada Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran melakukan kerja pembersihan dengan bantuan peralatan daripada Jabatan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

“MBPJ menyediakan lori berkapasiti satu tan iaitu Roll-on-Roll-off (RoRo) bagi mengangkut keseluruhan sampah daripada rumah itu,” katanya.

Harian Metro 29 Disember lalu melaporkan terdapat sebuah rumah yang didiami seorang wanita berusia 60-an mengeluarkan bau busuk serta keadaan persekitarannya yang usang, tidak terurus dan seolah-olah tidak berpenghuni. Keadaan ini menimbulkan rasa kurang senang jiran dan penduduk di taman perumahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 9:28 AM