ADUN Teluk Air Tawar Datuk Jahara Hamid (tengah) bersama penduduk Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Butterworth, yang membuat bantahan tindakan seorang wanita memelihara lebih 90 anjing liar. - Foto AMIR IRSYAD OMAR
ADUN Teluk Air Tawar Datuk Jahara Hamid (tengah) bersama penduduk Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Butterworth, yang membuat bantahan tindakan seorang wanita memelihara lebih 90 anjing liar. - Foto AMIR IRSYAD OMAR
Lebih 90 anjing liar dipelihara seorang wanita yang sering mengganggu penduduk sekitar Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Butterworth. - Foto AMIR IRSYAD OMAR
Lebih 90 anjing liar dipelihara seorang wanita yang sering mengganggu penduduk sekitar Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Butterworth. - Foto AMIR IRSYAD OMAR
BERNAMA

Butterworth: Penduduk di Bagan Belat, Teluk Air Tawar, dekat sini, menggesa Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang membela 95 anjing di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan banyak masalah kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bagan Selat, Ishak Abdullah, 57, berkata pada awal pembukaan pusat pemeliharaan anjing jalanan itu hanya ada beberapa anjing, namun semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Katanya, semua anjing itu ditempatkan dalam kawasan tanah lapang seluas setengah ekar dengan pagar zink namun pemiliknya, seorang wanita 50-an, tidak mengurusnya dengan baik sehingga tempat itu berbau busuk dan boleh dihidu sejauh 500 meter.

"Pemiliknya tidak tinggal di sini sebaliknya hanya datang sekali sehari memberi anjing berkenaan makan, membiarkan binatang berkenaan tidak terurus," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Akibat tidak dijaga dengan baik, tempat itu menjadi pusat pembiakan nyamuk aedes selepas pemeriksaan Jabatan Kesihatan dengan kompaun turut dikeluarkan kepada pemilik, dakwanya.

Ishak berkata pihaknya menyokong usaha murni wanita itu, namun pelbagai masalah timbul berikutan binatang itu mengganggu orang ramai dan memakan haiwan peliharaan penduduk antaranya ayam, itik dan kucing, selain turut mengejar penduduk terutama kanak-kanak.

Aduan kepada MPSP dibuat beberapa kali dan difahamkan wanita berkenaan hanya dikenakan kompaun dan sehingga hari ini, masih enggan berpindah.

Setiausaha Masjid Bagan Belat, Shamsul Shahbudin berkata, binatang berkenaan bukan sahaja berkeliaran mengejar penduduk di situ malah memasuki kawasan masjid yang terletak 200 meter dari pusat pemeliharaan anjing itu.

"Penduduk mahu pusat itu dipindahkan ke lokasi lain kerana lokasi sekarang tidak sesuai langsung malah berada di tengah perkampungan Melayu. Kami juga bimbang penularan wabak demam denggi kerana keadaan pusat itu yang tidak dijaga dengan sempurna dan boleh menjadi habitat nyamuk aedes,"

katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar Datuk Jahara Hamid yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, beliau pernah membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri dan pihak kerajaan negeri memaklumkan bahawa MPSP sudah mengambil tindakan.

"Bila saya tanya, kerajaan negeri beri jawapan sudah diambil tindakan dan saya kemukakan gambar serta bukti pusat pemeliharaan anjing masih beroperasi di situ (namun) mereka gagal menjawab. Saya tidak mahu sehingga ada kes penduduk digigit anjing baru ada pihak ambil tindakan, pastinya sudah terlambat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 9:58 PM