WAN Azlan membawa Nor Yuhanis dan Wan Mohd Mikhail menaiki motosikal yang diubah suai.
WAN Azlan membawa Nor Yuhanis dan Wan Mohd Mikhail menaiki motosikal yang diubah suai.
WAN Azlan dan Nor Yuhanis bersama Wan Mohd Mikhail.
WAN Azlan dan Nor Yuhanis bersama Wan Mohd Mikhail.
Oleh Siti Nadzirah Che Mud

Bachok: Suami mengalami ketidakupayaan fizikal manakala isteri lembam serta cacat di kedua-dua kaki.

Namun pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) ini tidak menganggap kekurangan diri sebagai penghalang untuk hidup bahagia seperti pasangan lain.

Keunikan pasangan Wan Azlan Wan Chik, 58, dan Nor Yuhanis Muhamad, 29, yang dikurniakan seorang anak lelaki Wan Mohd Mikhail, 4, cukup dikenali penduduk sekitar apabila sering dilihat ‘dating’ bersama dengan menunggang motosikal yang mempunyai bumbung untuk ke mana-mana.

Wan Azlan yang bekerja sebagai tukang jahit sejak 10 tahun lalu berkata, dia mengenali isterinya enam tahun lalu dalam program dianjurkan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) di Kota Bharu.

Katanya, kali pertama bertemu Nor Yuhanis, dia terus jatuh hati biarpun menyedari wanita itu lembam.

“Kami mengambil masa setahun untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum membuat keputusan berkahwin dan saya terharu Nor Yuhanis dan keluarganya sudi menerima walaupun menyedari kekurangan saya tidak seperti insan normal lain.

“Selepas disatukan kami saling melengkapi dan sering membantu antara satu sama lain dan Alhamdulillah, kini kami bahagia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, di sini.

Menceritakan mengenai motosikalnya, Wan Azlan berkata, motosikal roda tiga itu hasil sumbangan YOKUK 15 tahun lalu.

“Pada mulanya motosikal ini tidak berbumbung, namun setahun lalu, saya menambah bumbung supaya isteri dan anak selesa kerana saya sentiasa membawa mereka ke mana-mana bersama.

“Jika membeli barang keperluan, saya akan memilih kedai yang boleh ‘parking’ betul-betul di depan premis untuk memudahkan saya menyerahkan senarai barang keperluan yang mahu dibeli,” katanya.

Menurutnya, kini dia sudah tidak dapat meneruskan kerja menjahit kerana gout sejak tiga tahun lalu.

“Saya hanya bergantung kepada wang bantuan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:11 AM