AQILAH Yuhanis bersama  anak anjing yang diselamatkannya. FOTO Aqilah Yuhanis Anuar
AQILAH Yuhanis bersama anak anjing yang diselamatkannya. FOTO Aqilah Yuhanis Anuar
Redzuan Muharam


Dungun: Malang nasib seekor anak anjing apabila disumbat masuk ke dalam guni yang diikat sebelum dibuang individu tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, nasib haiwan itu terbela selepas diselamatkan seorang gadis iaitu Aqilah Yuhanis Anuar, 24.

Kisah Aqilah Yuhanis yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu mendapat perhatian netizen hingga tular di laman sosial selepas memuat naik video di TikTok petang semalam.

Video dirakam rakannya, Nuru Eni Malina Haslina Idris, 34 itu sehingga kini meraih lebih 5.5 juta tontonan.

Aqilah Yuhanis yang bekerja sebagai pembantu akaun berkata, dia menemui anak anjing berkenaan di hadapan sebuah bengkel dekat Paka, di sini.

"Saya ternampak guni berisi anak anjing itu di hadapan sebuah bengkel ketika memandu pulang untuk pulang ke pejabat selepas makan tengah hari dengan rakan sekerja.

"Melihat guni itu bergerak, saya berhentikan kereta dan sebaik menghampirinya (guni), saya terdengar suara seperti ada anjing di dalamnya.

"Tanpa berlengah, saya terus mengambilnya (guni) untuk bawa masuk ke dalam kereta dan sebaik tiba di kawasan pejabat, saya pakai sarung tangan sebelum membuka ikatan guni itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

AQILAH Yuhanis sayangkan haiwan dan tidak takut walaupun dengan anjing. FOTO Aqilah Yuhanis Anuar
AQILAH Yuhanis sayangkan haiwan dan tidak takut walaupun dengan anjing. FOTO Aqilah Yuhanis Anuar

Menurut Aqilah Yuhanis, apa yang menyedihkannya apabila melihat anak anjing itu dalam keadaan tercungap-cungap dengan lehernya diikat pada tali.

Disebabkan itu, Aqilah Yuhanis tidak dapat menahan sebak dan dengan pantas membebaskan anjing berkenaan daripada dalam guni.

"Saya memang sedih waktu melihat anak anjing itu kerana nampak kehausan dan sesak nafas.

"Tak dapat bayangkan keadaannya sepanjang diikat dalam guni itu.

"Selepas mengeluarkannya daripada guni, saya terus memberinya makan dan minum sebelum meletakkannya ke satu tempat yang selamat tidak jauh daripada kawasan pejabat" katanya yang menetap di Kampung Nibong Bawah, Dungun.

Berkongsi pengalamannya, Aqilah Yuhanis berkata, dia pernah menyelamatkan anjing, kucing, monyet dan haiwan lain sebelum ini.

"Ikutkan saya memang sukakan haiwan dan tidak takut walaupun dengan anjing.

"Jika ternampak ada bangkai haiwan mati di atas jalan raya, saya akan mengalihkan ia dan lakukan apa yang termampu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 9:51 PM