Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) menawarkan khidmat kolam terapi hidro pertama di negeri ini secara percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan.

Pengarah eksekutifnya Datin Suliana Shamsuddin Alias berkata, kolam terapi hidro itu bernilai RM600,000 dan daripada jumlah itu sebanyak RM400,000 disumbangkan CIMB Islamik Bank.

Beliau berkata, kolam terapi hidro itu bakal memberi manfaat kepada OKU dan golongan kurang berkemampuan yang berdaftar di Yokuk kerana bayaran perkhidmatan di luar mencecah sehingga RM250 untuk satu sesi terapi.

"Kolam ini terapi hidro diharap memberi peluang kepada pelanggan yang berdaftar di Yokuk untuk menikmati perkhidmatan terapi secara percuma.

"Seramai lebih 400 pelanggan bakal menerima manfaat kolam berkenaan membabitkan pesakit lumpuh, palsi serebrum dan angin ahmar," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kolam Terapi Hidro di Pusat Yokuk di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson.

Mengulas lanjut, Suliana berkata, kolam terapi itu menggunakan air panas dengan suhu yang bersesuaian dan diletakkan garam untuk kegunaan terapi terbabit.

"Kebiasaannya perkembangan kesihatan (mereka) yang menjalani terapi ini dapat dilihat dalam tempoh sekurang-kurangnya antara tiga hingga enam bulan, bergantung kepada keadaan dan juga kekerapan menjalani terapi, paling minimum iaitu sekitar dua kali seminggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 3:49 PM
YOKUK menawarkan khidmat kolam terapi hidro pertama di Kelantan secara percuma kepada golongan OKU dan mereka yang kurang berkemampuan. FOTO Syaherah Mustafa
YOKUK menawarkan khidmat kolam terapi hidro pertama di Kelantan secara percuma kepada golongan OKU dan mereka yang kurang berkemampuan. FOTO Syaherah Mustafa