SYARUL Ridzwan bersama Mia Ahmad.
SYARUL Ridzwan bersama Mia Ahmad.
ANTARA babak menarik drama bersiri terbaru Akasia di TV3, Hati Perempuan.
ANTARA babak menarik drama bersiri terbaru Akasia di TV3, Hati Perempuan.
ANTARA babak menarik drama bersiri terbaru Akasia di TV3, Hati Perempuan.
ANTARA babak menarik drama bersiri terbaru Akasia di TV3, Hati Perempuan.
Syanty Octavia Amry


Mungkin agak ‘klise’ watak lelaki kaya yang ego bertemu dengan wanita biasa yang tegas, tetapi kemudiannya berjaya menjatuhkan ego lelaki terbabit sehingga perasaan benci bertukar cinta dan sayang.

Namun, menariknya dalam drama bersiri terbaru Akasia TV3, Hati Perempuan, perbezaan dapat dilihat melalui watak Tengku Zaril yang dilakonkan Syarul Ridzwan.

Memegang watak lelaki kaya berketurunan diraja, banyak perkara perlu dijaga dan diambil kira supaya watak tidak kelihatan bodoh dan jelik di mata penonton.

Selain Syarul, drama terbitan Creative Skill Solution ini turut dilakonkan Mia Ahmad sebagai Yuhanis, Hafreez Adam, Aidil Aziz, Bella Nazari, Hafeez Mikail dan Nazmi Adhwa.

Sukarnya, tidak hanya pelakon saja malah pengarahnya, Kas Roshan juga mengakui setiap watak yang dibawa dia perlu berhati-hati baik dari segi percakapan, pergerakan dan penampilan yang digayakan.

Kas ketika ditemui di lokasi penggambaran drama 28 episod itu di Putrajaya baru-baru ini berkata, ini drama yang begitu mencabar dirinya sebagai seorang pengarah.

“Untuk drama ini saya berdepan dengan ramai pelakon baru. Mencabar juga kerana saya perlu memastikan mereka berjaya menghayati watak masing-masing.

“Setiap pelakon juga datangnya dari bakat yang berbeza-beza. Ada yang mempunyai bakat semula jadi tanpa perlu diasah lagi, ada juga yang memerlukan masa untuk mereka fahami watak dan boleh ikut apa yang saya mahu.

“Seperti watak Tengku Zaril ini, banyak juga kajian harus saya buat kerana ia membabitkan banyak protokol yang harus dijaga disebabkan watak ini bukan watak lelaki kerabat diraja.

“Oleh kerana saya sudah pernah bekerjasama dengan Syarul dan Mia sebelum ini, kerja kami jadi mudah kerana mereka faham apa yang saya mahukan.

“Saya juga akan sentiasa memastikan mereka berdua sering bersama untuk lebih mendalami watak masing-masing,” katanya.

Hati Perempuan adalah sebuah kisah yang diadaptasi daripada novel yang menggunakan tajuk sama karya Nur Ain Al-Abas.

Tiga tahun bergelar pengarah, Kas berkata, bagi mendapatkan hasil yang terbaik ada beberapa babak yang terpaksa diluang semula penggambarannya.

“Saya berharap penonton berpuas hati dengan cerita ini. Apa yang saya cuba paparkan tidak lari daripada karya asalnya yang dihasilkan oleh Nur Ain,” katanya.

Sinopsis

Mula ditayangkan pada Isnin lalu, Hati Perempuan mengisahkan Yuhanis (Mia Ahmad), seorang gadis tegas dan berdikari bekerja sebagai arkitek di syarikat Izzudin & Co.

Manakala, Tengku Zaril (Syarul Ridzwan), jejaka kacak yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Paradigma Holding mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia. Ketampanan dan kekayaan Tengku Zaril sering menjadi kegilaan gadis, tetapi tidak pada Yuhani.

Bagi Yuhanis, Tengku Zaril ialah lelaki kaya yang sinis dan menjengkelkan. Tetapi entah mengapa Tengku Zaril tiba-tiba melamar Yuhanis sedangkan mereka sering saja berselisih faham sewaktu berurusan.

Idea gila Tengku Zaril ditolak kerana Yuhanis masih lagi memendam luka yang masih lagi berdarah di hati selepas ditinggalkan Daniel Idrus (Hafreez Adam).

Namun Tengku Zaril tidak putus asa dan cuba memenangi hati Yuhanis dengan alasan mereka saling memerlukan. Tengku Zaril mula berubah sikap kerana baginya tiada perempuan lain yang boleh dijadikan isterinya melainkan Yuhanis.

Kedatangan rombongan keluarga Tengku Zaril untuk meminang mengejutkan Yuhanis lebih-lebih lagi apabila ibunya turut memerima pinangan keluarga Tengku Zaril.

Yuhanis kini terperangkap dengan soal hati bukan saja pada Tengku Zaril, malah juga pada rakan sekerjanya Nizam (Aidil Aziz) dan Daniel, bekas kekasihnya.

Bakal bersatukah dua jiwa ini jika Tengku Zaril, hatinya masih kosong dengan erti cinta sebenar manakala Yuhanis masih berpaut pada cinta yang lama? Ikuti perjalanan Yuhanis dan Tengku Zaril membina bahagia di slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis jam 6.55 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 12:05 PM