Anggota bomba mengusung mayat seorang daripada dua remaja dari Johor yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh. FOTO Rozainah Zakaria
Anggota bomba mengusung mayat seorang daripada dua remaja dari Johor yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh. FOTO Rozainah Zakaria
Oleh Zaid Salim


Permaisuri: Mayat seorang daripada dua mangsa lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik, di sini, ditemui sebaik operasi mencari dan menyelamat disambung 10.30 pagi tadi.

Komander operasi, Penguasa Bomba JBPM Terengganu Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, mayat ditemui terapung di permukaan laut oleh polis marin kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, mayat kemudian dibawa ke Jeti Kampung Mangkuk di sini kerana bot bomba tidak boleh berlabuh di kawasan operasi berikutan ombak besar.

"Mayat akan diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Setiu," katanya.

Identiti mayat masih belum dikenal pasti.

Semalam, dua remaja, Mohd Naim Adnan dan Muhammad Wafiq Mohd Noor, kedua-duanya berusia 17 tahun, dilaporkan hilang selepas dipukul ombak ketika mandi di Pantai Rhu Sepuluh, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 3:46 PM