Simon menunjukkan kawasan pencarian. FOTO Zaid Salim
Simon menunjukkan kawasan pencarian. FOTO Zaid Salim
Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa bot karam di muara Kuala Dungun Ahad lalu diperluaskan dengan pencarian kini meliputi perairan Pulau Redang pada jarak antara 20 hingga 30 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Simon Templer Lo Anak Tusa berkata, usaha pencarian di kawasan utara itu dilakukan berdasarkan arah tiupan angin dan arus yang menghala ke perairan berkenaan.

"Bagaimanapun, gerakan mencari dan menyelamat di perairan pantai Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Dungun tetap diteruskan agensi penyelamat membabitkan polis, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," katanya pada sidang media di Pengkalan APMM Pulau Kambing, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain pencarian di laut dan pesisir pantai, pemantauan melalui udara juga dilakukan oleh JBPM dan polis.

Sehingga kini semua agensi terbabit dalam operasi berkenaan belum menemui sebarang petunjuk atau objek terapung yang ada kaitan dengan kejadian berkenaan..

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 2:58 PM