ANGGOTA bomba menyelamatkan 18 kucing dan pemiliknya, semalam.
ANGGOTA bomba menyelamatkan 18 kucing dan pemiliknya, semalam.

Kuala Terengganu: Dalam kekalutan menyelamatkan mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai, di sini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sempat menyelamatkan 18 ekor kucing milik seorang penduduk di kawasan berkenaan.

Haiwan peliharaan milik Rosnorlia Ibrahim, 41, itu terperangkap selepas rumah tuannya dinaiki air sebelum JBPM Terengganu membantu memindahkan mangsa bersama haiwan peliharaannya itu.

Ketika diselamatkan, semua haiwan peliharaan itu agak agresif dan mencakar anggota JBPM Terengganu yang mahu memindahkan ke dalam bot penyelamat.

Haiwan peliharaan dan wanita itu dibawa ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Terengganu Penguasa Bomba Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, tumpuan operasi JBPM Terengganu bagi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir serta harta benda mereka.

“Tumpuan kami untuk menyelamatkan setiap yang bernyawa dan harta benda. Justeru, haiwan peliharaan seperti kucing juga menjadi keutamaan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:15 AM