BERNAMA

Bachok: Seramai 44 pengawai dan anggota polis, Jabatan Bomba, Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas di Pantai Kemayang di sini, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, Op Carilamat berkenaan diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan pada 8.30 pagi tadi.

"Operasi untuk mengesan mangsa, Ahmad Fadhlullah Mohamad yang dikatakan memakai baju dan seluar panjang berwarna hitam, turut dibantu orang awam termasuk keluarga mangsa.

"Antara aset terlibat setakat ini untuk mencari mangsa adalah sebuah bot Maritim Perkasa 33 milik APMM, sebuah bot aluminium milik JBPM dan sebuah RHIB bot milik APM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Nor Adli berkata, agensi yang terlibat juga akan membantu membuat pencarian di sekitar pesisir pantai manakala bot Maritim Malaysia akan melaksanakan pencarian sekitar perairan.

Berita berkaitan:

Budak hilang cuba selamatkan anak saudara jatuh laut [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 6:24 PM