Anggota Bomba dan Penyelamat  mencari mangsa di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik.
Anggota Bomba dan Penyelamat mencari mangsa di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik.

Permaisuri: Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik, di sini, Muhamad Wafiq Mohd Noor, 17, diperluaskan hingga ke perairan Pulau Bidong dan Redang.

Operasi pencarian masuk hari keempat bermula jam 8 pagi semalam selepas dihentikan seketika jam 7 petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu Penolong Penguasa Bomba Mohd Anuar Mamat berkata, operasi itu membabitkan 30 anggota bomba dan penyelamat, termasuk 10 anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menggunakan dua bot kevlar dan bot aluminium.

“Lain-lain agensi terbabit ialah polis (26), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) (31), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (10) dan bantuan lain daripada unit amal (10) serta 20 bot nelayan Persatuan Nelayan Penarik,” katanya.

Menurutnya, keadaan laut tenang dan kurang bergelora selain cuaca baik membolehkan usaha mencari mangsa lemas dilakukan tanpa banyak halangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:30 AM